Penjajah moden memang sesuai dilabelkan kepada DAP Pulau Pinang kerana secara asasnya, cara Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mentadbir sama seperti zaman penjajah dahulu. Sekiranya sesuatu pihak atau perkara itu ada berkepentingan untuk mereka, itulah yang diutamakan.
“Pihak tersebutlah yang akan diberi segala keistimewaan sehinggakan perkara penting lain dipinggirkan kerana tidak mendatangkan keuntungan buat mereka. Perkara ini jelas dapat dlihat apabila di pulau terdapat pelbagai kemajuan dan kemewahan sedangkan di seberang, seperti agak mundur dan didiami oleh mereka yang dari golongan susah,” ujar Ketua Puteri UMNO Pulau Pinang, Nor Hafizah Othman.
Katanya, amalan pemerintahan DAP Pulau Pinang jauh terpesong daripada Gagasan 1Malaysia yang kerajaan terapkan selama ini.
“Sekiranya orang luar mengunjungi Pulau Pinang, jelas dapat dirasakan perbezaan ini terutama dalam membela nasib rakyat mengikut kaum. Sikap perkauman DAP sebenarnya amat tinggi dan inilah yang menimpa rakyat Pulau Pinang kini.
“Oleh itu, saya amat berharap, agar rakyat Pulau Pinang mengambil langkah melakukan transformasi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Sekiranya PRU 12 adalah satu kesilapan, maka lakukanlah transformasi pada PRU 13. Jangan kita biarkan DAP terus berkuasa dan mengamalkan penjajahan terhadap rakyat di negeri ini. Ambillah iktibar terhadap apa yang terjadi sepanjang masuk empat tahun DAP memerintah di sini,” ujar kepada UMNO-Online.
Menurut Hafizah, retorik pemerintahan DAP yang kononnya sentiasa membela nasib rakyat harus ditamatkan kerana hanya rakyat yang boleh membetulkan keadaan ini.
Tambahnya lagi, sudah pasti rakyat sudah mampu membezakan apa yang betul dan tidak dan siapa yang sentiasa menunaikan janji dan yang hanya pandai menabur janji kosong.
“Rakyat Pulau Pinang khususnya sudah dapat menilai apa yang selama ini kerajaan pusat di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak lakukan demi rakyat tanpa mengira negeri itu di bawah pimpinan pembangkang atau tidak. Semuaya adil dan saksama malah tidak mengira kaum.
“Inilah perjuangan yang selama ini kita lakukan demi membela nasib rakyat. Puteri sendiri sebagai tulang belakang parti terus berusaha keras mendekati anak muda dan memahamkan mereka tentang senario politik dan apa yang UMNO dan BN lakukan.
“Sepanjang empat tahun perjuangan Puteri membantu parti di Pulau Pinang, dapat saya katakan kini rakyat Pulau Pinang sudah kembali menyokong kita dan saya yakin sokongan mereka ini akan diterjemahkan di PRU akan datang,” ujarnya lagi. – MediaUMNO
Post a Comment