UMNO Pulau Pinang menyifatkan keputusan Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum ke-13 adalah satu transformasi parti dan memberi peluang kepada muka baru dalam Gerakan untuk menjadi calon.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata keputusan Koh itu juga di luar jangkaan kerana ia dibuat ketika beliau menjadi presiden parti.
“UMNO Pulau Pinang menghormati keputusan Tan Sri Dr Koh kerana berani membuat keputusan itu dan saya percaya tindakan itu akan memberi peluang kepada pemimpin muda dalam Gerakan,” katanya selepas majlis penyerahan wang RM100 di Sekolah Kebangsaan Seri Sentosa di sini hari ini.
Zainal Abidin berkata rakyat terutama penduduk di Pulau Pinang harus membuka mata dengan keputusan Koh kerana beliau telah banyak berjasa kepada negeri itu semasa kepimpinannya sebagai Ketua Menteri.
“Dr Koh sangat berjasa kepada rakyat Pulau Pinang kerana sejak 18 tahun lepas pelbagai kemajuan dibuat untuk negeri ini dan penduduk juga harus memberi peluang kepada pemimpin muda dalam Gerakan untuk meneruskan kepimpinan parti itu,” katanya.
Post a Comment