Headlines News :
Home » , , » Pemuda UMNO fokus pengundi muda PP hadapi PRU 13

Pemuda UMNO fokus pengundi muda PP hadapi PRU 13






GEORGETOWN - Pergerakan Pemuda UMNO tidak menolak kemungkinan parti itu mampu menambah lebih banyak kerusi di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, selain mempertahankan 11 kerusi sedia ada yang telah dimenangi UMNO pada pilihan raya umum lalu, kajian yang dibuat pergerakan itu mendapati terdapat beberapa kerusi lain yang boleh ditawan terutama di kawasan yang wakil rakyatnya gagal menunjukkan prestasi kerja baik.

Jelas beliau, tidak ketinggalan menjadi tumpuan adalah kawasan lain yang dimenangi pembangkang pada pilihan raya umum lalu dengan majoriti rendah.

''Ketika ini, kita fokus kepada pengundi muda. Kita sudah buat kajian mengenai kedudukan pengundi muda bukan sahaja di Pulau Pinang malahan negeri lain dan fokus kempen kita dalam tiga hingga enam bulan ini tertumpu kepada kumpulan ini yang memainkan peranan yang sangat penting,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pemuda UMNO Malaysia Kedua di sini hari ini.

Selain strategi kempen pilihan raya, mesyuarat tersebut turut membincangkan tentang program-program yang telah disusun selama dua minggu menjelang Perhimpunan Agung UMNO hujung bulan ini.

Menurut Khairy, dalam menjayakan gerak kerja tersebut, pihaknya akan menumpukan usaha mendekati golongan muda yang dibahagikan kepada beberapa kawasan termasuk mengikut lokasi mengundi, bandar dan luar bandar.

"Kita akan dekati mereka mengikut isu tempatan di kawasan itu begitu juga pengundi yang sebelum ini tidak kita dekati dan terlepas pandang.

"Kita akan cuba membetulkan kesilapan yang pernah kita lakukan sebelum ini dalam usaha merampas semula Pulau Pinang," ujarnya.

Sementara itu, Khairy berkata, pihaknya telah membina satu pangkalan data mengandungi maklumat mengenai semua individu yang terlibat dan diberi bantuan oleh pergerakan itu untuk kempen pada pilihan raya umum akan datang.

Jelas beliau, pada setiap program yang dianjurkan Pemuda terutamanya oleh Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) Pemuda UMNO, pihaknya telah mendaftarkan mereka yang terlibat di dalam sistem pangkalan data bersepadu itu yang mengandungi semua maklumat terperinci mengenai individu terlibat.

''Setakat ini SHEB telah mendaftar lebih daripada 213,000 orang yang pernah terlibat dalam program yang mereka anjurkan manakala 200,000 orang lagi kita daftarkan semasa program Karnival Kerjaya Pemuda BN yang pertama.

''Mereka ini akan kita hubungi sama ada melalui emel, panggilan telefon atau khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi menyalurkan sebarang maklumat mengenai kempen pilihan raya umum akan datang. Kita akan dekati mereka dengan cara yang lebih berkesan," ujarnya.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger