Headlines News :
Home » , » Flat condong: Rakyat desak kerajaan negeri DAP segera bantu

Flat condong: Rakyat desak kerajaan negeri DAP segera bantu



GEORGE TOWN 17 Mei - Kerajaan pimpinan DAP Pulau Pinang digesa mengambil tindakan segera berhubung insiden rumah pangsa di Lengkok Mahsuri, Bayan Baru di sini yang didakwa condong sejak empat tahun lepas.

Seorang penduduk, Roswadi Mat Saad, 39, berkata, sebuah blok di kawasan rumah pangsa itu condong akibat mendapan tanah yang berlaku apabila air memasuki bawah lantai unit di tingkat bawah ketika hujan.

"Kesannya dapat dilihat dari dekat, keadaan itu menyebabkan permukaan koridor di rumah pangsa berkenaan tidak rata, dan penduduk di blok berkenaan, terutama yang mendiami kawasan di tingkat bawah, terpaksa membaiki rumah mereka untuk mengelak air masuk ke dalam rumah," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, penduduk telah menulis kepada pihak berkuasa tempatan termasuk Ketua Menteri, Lim Guan Eng; Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Wakil Rakyat Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin, namun belum ada pihak yang bertindak.

"Kami berharap pihak yang bertanggungjawab termasuk kerajaan negeri, akan tampil segera untuk membantu kami menyelesaikan masalah ini," katanya yang menambah masalah lain melibatkan kebocoran bumbung dan tangki air, ketiadaan alat pemadam kebakaran serta pili bomba.

Bagi Zulkifli Yusuf, 54, masalah itu membelenggu kira-kira 2,000 penduduk di 11 blok kerana air memasuki bumbung yang bocor apabila hujan lebat dan menyebabkan ia retak serta reput.

"Kebocoran tersebut turut berlaku di dapur rumah saya hingga ke bilik tidur, keadaan akan bertambah teruk hingga kami terpaksa menadah air hujan itu dengan baldi," katanya.

Beliau berkata, pihak pengurusan perumahan itu juga gagal membantu penduduk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

"Setiap bulan kami membayar RM36 sebagai yuran penyelenggaraan, tetapi bila ada masalah, pihak pengurusan cuba berdolak-dalik dan enggan menyelesaikan masalah yang kami hadapi," katanya.

Tinjauan di kawasan berkenaan mendapati penduduk turut berdepan masalah pencemaran kerana sampah sarap tidak dibersihkan.

Rumah pangsa berkenaan dibina sejak 1984 dan mempunyai 11 blok empat tingkat dengan sejumlah 450 unit rumah. — BERNAMA
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger