Bekas Ketua PKR Pulau Pinang Datuk Seri Zahrain Hashim gusar politik perkauman yang dimainkan oleh Pakatan Rakyat (Pakatan) akan menyebabkan rakyat mengundi atas jaringan perkauman.
Katanya, jika perkara itu menjadi satu pola, perkembangan berkenaan tidak baik kepada negara.
"Saya bimbang kalau keadaan di Malaysia ini rakyat mengundi atas jaringan perkauman, di mana persepsinya Cina, DAP, pembangkang...Melayu, Barisan Nasional dan sebagainya.
"Kalau itu jadi satu trend, ini akan jadi keadaan yang tidak baik kepada negara. Kita tak mahu membezakan antara Melayu, Cina, India dari segi politik," katanya ketika diwawancara dalam program 'Menongkah Arus' terbitan Antarapos.
Menurut Zahrain, berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang menaungi parti pelbagai bangsa, parti-parti komponen Pakatan mempunyai ideologi atau dasar yang bukan sahaja berbeza tetapi bertentangan antara satu sama lain.
"Melainkan BN, dia boleh berjaya sebab ia boleh bentuk satu gabungan walaupun Umno itu parti Melayu, MCA parti Cina dan MIC parti India, tapi bila duduk di bawah naungan BN, ia menggambarkan seluruh rakyat Malaysia.
"Tapi dalam Pakatan berlainan. PKR kononnya parti berbilang kaum, tapi tak juga, DAP pun cakap parti berbilang kaum, tapi tak juga...yang PAS kononnya parti Islam, tapi hari ini kita nampak sudah tak juga Islam," katanya.
Pembangkang bermimpi mahu bentuk kerajaan
Menurut Zahrain, kejayaan Pakatan menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional pada 2008 bukan kerana rakyat cintakan gabungan itu tetapi kerana "muak dengan pembawaan BN" ketika itu.
"Tapi pada PRU 13 ini, saya rasa perkara itu tak akan berlaku lagi. Saya rasa paling baik Pakatan ada adalah pada 2008. Kalau pada 2008 tak boleh bentuk kerajaan di pusat, saya rasa 2013 jangan mimpilah," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan pengamatannya, prestasi paling baik oleh pembangkang adalah untuk mendapatkan 50 kerusi di Dewan Rakyat dan beberapa negeri yang diterajui oleh Pakatan sekarang akan tumbang semula kepada BN.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru berkata sejak memerintah di negeri-negeri yang diterajui Pakatan, kepincangan mereka mula terserlah dengan pelbagai isu yang tidak mampu diselesaikan.
"Di Selangor, di Pulau Pinang, di Kedah... ada kelemahan yang begitu ketara sekali. Sampai hari ini di Pulau Pinang, masalah di Pulau Pinang semuanya dituding kepada BN. Jadi dia (kerajaan Pulau Pinang) tak mahu ambil tanggungjawab untuk perbaiki keadaan," katanya.
Justeru, menurut Zahrain, suka atau tidak, pemimpin Pakatan perlu mengakui bahawa negara mendapat pencapaian yang hebat di bawah pentadbiran BN.
"Dan kita kena iktiraf dengan apa yang dah dilakukan oleh BN. Tapi bagi saya kalau kita lihat dengan terperinci, tidak ada pilihan lain daripada BN," katanya lagi.
Post a Comment