Home »
UMNO Penang
» Arif Shah jawab tuduhan TKM 1 isu pengundi hantu Seberang Jaya @bnpenang
SEBERANG JAYA - Apakah logik sebuah rumah dihuni 96 individu manakala sebuah rumah yang lain pula di kampung yang sama dihuni 67 individu pelbagai bangsa?
Tidak. Ini bukan asrama atau rumah kongsi pekerja kontrak tetapi sebuah rumah kampung biasa dan sebuah kedai mamak di Kampung Bagan Serai, di sini.
Hal bilangan yang terlalu ramai bagi sebuah rumah ini pernah jadi perhatian Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman yang pada Sidang Dun tidak lama dahulu pernah meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) siasat dan buat pembersihan.
Mansor curiga apabila mendapati seramai 96 pengundi - 89 berketurunan India manakala 7 Melayu - beralamat di rumah yang sama, No 1155, Kampung Bagan Serai, Seberang Jaya dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh yang diwakili Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Manakala bagi rumah beralamat No 1138 di kampung yang sama, 67 ‘penghuninya’ terdiri daripada 57 berketurunan Melayu dan yang lain, India.
Tinjauan Sinar Harian ke alamat berkenaan bagaimanapun mendapati, penghuni dua rumah berkenaan tidaklah seramai itu.
Kecurigaan Mansor, meskipun munasabah namun sebenarnya dibuktikan dengan tidak ada sebarang penyelewengan fakta yang berkaitan dengan alamat itu.
Keadaan itu berlaku hanya kerana dua rumah berkenaan yang berlokasi di kawasan depan di perkampungan setinggan itu dijadikan alamat oleh sebilangan penduduk dari kawasan belakang yang sukar dimasuki posmen.
“Itulah yang mungkin berlaku,” kata Adun Seberang Jaya daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Ariff Shah Omar Shah ketika ditanya mengenai kecurigaan Mansor yang dibangkitkan dalam Sidang Dun yang turut dihadirinya.
Ariff berkata, siasatan terperinci bagi kes itu perlu apabila wujud fakta yang meragukan.
“Kalau benar ada pengundi hantu, itu memang kita kesali. Tetapi kepada pihak yang curiga, siasatan yang menyeluruh perlu dilakukan, bukan hanya tuding jari kepada orang lain saja,” katanya merujuk pada kenyataan Mansor.
Di pihaknya, kata Ariff, siasatan sudah pun dibuat dan beliau mendapati, sebilangan penduduk kampung itu menggunakan alamat sebuah rumah dan sebuah kedai mamak sebagai alamat pos.
“Barang kali alamat yang sama juga mereka gunakan untuk urusan daftar pengundi. Ini biasa berlaku di kampung setinggan seperti itu,” katanya.
Ariff berkata, daripada maklumat pangkalan data lokaliti penduduk kawasan berkenaan yang menunjukkan premis bernombor 1155 dihuni 96 pengundi dengan 89 berketurunan India dan tujuh pengundi Melayu, demikian juga premis bernombor 1138 (10 India, 57 Melayu) menunjukkan penduduk kawasan itu cenderung menggunakan alamat tumpang.
“Ini bukan alamat tempat tinggal mereka yang sebenar. Tidak munasabah untuk mereka tinggal di alamat yang sama, dan kita pun tahu bukan semua orang gunakan rumah yang mereka diami sebagai alamat pos. Ini mungkin untuk lebih memudahkan mereka dan pihak pos,” katanya.
Jika benar mereka yang berkenaan sememangnya penduduk kawasan itu dan berdaftar secara sah sebagai pengundi, Ariff berkata, tidak ada sesiapa yang boleh menyalahkan mereka meskipun mereka menggunakan alamat yang sama.
“Kami (BN-Umno) juga tak boleh disalahkan, kononnya ini permainan kami,” katanya.
“Dari segi undang-undang, mereka adalah pengundi yang sah. Sebab itu, saya kata, sebelum kata apa-apa, lebih baik siasat dulu,” katanya.
Menurutnya, kawasan perkampungan Bagan Serai sudah wujud puluhan tahun dan menempatkan hampir 200 rumah setinggan dengan kebanyakan menumpang di tanah milik swasta.
Ariff berkata, pemimpin PR seharusnya bersikap profesional kerana ada garis panduan yang perlu dipatuhi dan dalam masa yang sama, hak pengundi juga perlu dihormati.
Tinjauan Sinar Harian ke perkampungan itu mendapati rumah No 1155 yang dikatakan dihuni 96 pengundi itu adalah bekas sebuah kedai mamak yang terletak di tengah kawasan kampung berkenaan manakala premis No1138 pula sebuah rumah kayu yang dihuni sebuah keluarga Melayu.
Dalam pada itu, seorang penduduk kampung yang enggan namanya disiarkan mengakui turut menggunakan alamat No 1138 untuk urusan surat menyurat dan daftar pemilih dengan SPR.
Usaha Sinar Harian untuk mendapatkan penjelasan Pengarah SPR Pulau Pinang, Morat Pora berkenaan isu itu bagaimanapun gagal.
Post a Comment