Siapa sangka kawasan yang dahulunya merupakan kawasan kelapa sawit dan sawah padi kini telah berubah wajah menjadi sebuah bandar yang pesat membangun. Kepala Batas merupakan Bandar yang terletak di daerah Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.
Kepala Batas yang dahulunya lebih dikenali sebagai ‘pekan koboi’ disebabkan pada masa tersebut premis atau kedai-kedai pada zaman 1990-an mampu dibilang dengan jari.
Kini masa mengubah segalanya,Kepala Batas tidak lagi seperti dahulu. Pelbagai kemudahan infrastruktur dan kemudahan asas telah dibangunkan di kawasan tersebut. Pembangunan pesat ini secara positifnya menyumbang kepada peningkatan taraf hidup penduduk dan kawasan ini.
Pembangunan yang pesat ini tercetus daripada idea bekas Perdana Menteri Malaysia yang kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga merupakan bekas Ahli Parlimen Kepala Batas yang mahukan Kepala Batas membangun seperti bandar-bandar yang lain.
Teringat dulu beliau pernah menyebut mahu membangunkan Kepala Batas ini sebagai Mini Putrajaya .
Pembangunan ini telah memberi kesan yang positif terhadap pekan Kepala Batas dan telah menjadikan pekan ini sebagai tempat institusi pendidikan, kegiatan ekonomi, dan juga pusat pentadbiran yang dahulunya terletak di Bandar Butterworth dan kemudianya berpindah di Bertam, Kepala Batas.
Malah pembangunan institusi-institusi pendidikan dibina seperti Institut Pengajian dan Pergigian Termaju Universiti Sains Malaysia. Universiti Teknologi Mara, Kolej Komuniti, Kolej Matrikulasi dan Maktab Rendah Sains Mara juga turut memberi impak besar kepada penduduk di sini .
Kewujudan institusi-institusi pendidikan disini akan menghasilkan ribuan graduan dan TVET dan tentunya memerlukan peluang pekerjaan yang banyak di kawasan sekitar ini .
Jadi , projek Taman Teknologi Tinggi Pulau Pinang (Penang Technology Park) Bertam amat tepat dan perlu dibangunkan . Malah ia juga dapat meningkatkan pembangunan ekonomi kepada daerah Seberang Perai Utara dan juga negeri Pulau Pinang melalui kegiatan pelaburan tempatan mahupun pelaburan asing .
Cuba kita bayangkan sektor industri yang akan dibawa ke Bertam ini seperti terdapat di Taman Perindustian Batu Kawan dengan kebanyakkan syarikat melabur adalah syarikat berteknologi tinggi seperti bidang semiconductor , aeroangkasa barang perubatan dan lain lain. Golongan muda & lepasan graduan di Kepala Batas dan sekitar Seberang Perai Utara tentunya akan dapat manfaat melalui peluang pekerjaan ini .
Kepala Batas kini sudah memiliki pelbagai kemudahan infrastruktur yang baik , institusi pendidikan,pusat pentadbiran kerajaan telah merancakkan kegiatan ekonomi penduduk kawasan ini .
Kini projek berimpak tinggi seperti Taman Teknologi Tinggi Pulau Pinang di Bertam perlu direalisasikan bagi meneruskan visi dan legasi Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi untuk masa depan rakyat Kepala Batas.
Post a Comment