Gelombang politik yang melanda UMNO ketika ini menuntut anggota bersama-sama barisan kepimpinan mempertahankan organisasi itu demi memastikan UMNO terus utuh dan dapat mengekalkan kemenangan pada pilihan raya umum akan datang.
Dalam nada berterus terang menyingkap keadaan politik semasa negara, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengakui cabaran getir yang dihadapi UMNO, parti tunjang Barisan Nasional (BN), berikutan pelbagai serangan daripada pembangkang termasuk daripada bekas pemimpin utama UMNO.
Beliau menegaskan bahawa solidariti dan kebersamaan anggota UMNO untuk bertindak seiring dengan kepimpinan parti, sekali gus mempertahankan institusi politik negara yang bertanggungjawab bukan sahaja untuk orang Melayu tetapi seluruh kaum di Malaysia.
Mengimbas pengalaman pahit dan permasalahan yang pernah dihadapi UMNO apabila kepimpinan UMNO tidak lagi bersama parti seperti pengasas UMNO, Allahyarham Datuk Onn Jaafar, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pada suatu ketika Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Musa Hitam sehingga menimbulkan polemik, Ahmad Zahid berkata, UMNO berjaya melayari dan menempuhi gelombang itu dan tidak tenggelam.
“Ia bergantung kepada bagaimana kepimpinan parti, bukan hanya Presiden dan Timbalan Presiden mendepani permasalahan itu tetapi yang penting adalah rasa kekitaan dan kebersamaan untuk menjawab, menyelesai dan mengatasi permasalahan yang dibangkitkan dengan cara penuh kebijaksanaan dan ketatasusilaan kita sebagai orang Islam dan Melayu,” katanya.
Beliau berkata, demikian dalam temu bual dengan Bernama menerusi rancangan Ruang Bicara Khas sempena Perhimpunan Agung UMNO 2016 yang akan disiarkan malam esok (26 Nov) melalui saluran televisyen Bernama News Channel (BNC).
Ahmad Zahid berkata, serangan bertubi-tubi yang mengandungi fitnah dan tohmahan terhadap pemimpin UMNO serta keseluruhan organisasi parti terbesar Melayu ini semakin hebat menjelang pilihan raya umum ke-14, yang boleh diadakan pada bila-bila masa.
Oleh itu, adalah menjadi tugas setiap anggota UMNO untuk membalas setiap serangan termasuk perang saraf yang dilakukan terutama menerusi dunia maya serta menangani setiap isu yang dibangkitkan dengan segera dan cekap.
“Kita harus memperkukuhkan pasukan dan angkatan kita bukan hanya mempertahankan tetapi melakukan sesuatu tindakan yang lebih bersikap positif untuk menentukan kita di pihak yang benar,” katanya.
Mengakui cabaran yang dihadapi UMNO pada masa ini amat berat kerana mereka yang pernah berada dalam saf kepimpinan utama UMNO kini turut menentang parti, beliau berkata ahli parti serta kepimpinan parti dan kerajaan bertanggungjawab membantu Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memperjelaskan isu-isu yang dibangkitkan.
“Pada hemat saya, jangan biarkan Presiden parti berseorangan mendepani permasalahan-permasalahan itu, sebaliknya kita belajar daripada kepimpinan lalu.
“Apabila kita berada dalam satu saf, kita harus bersama dan kita harus menterjemahkan apa yang dihasratkan oleh pucuk pimpinan sebagaimana yang kita tahu dalam tempoh 22 tahun serangannya pelbagai dari luar dan dari dalam,” katanya merujuk kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Presiden UMNO.
Ahmad Zahid selaku Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, berkata kelangsungan hidup parti utuh disebabkan oleh kekuatan dalaman serta dukungan kepimpinan dan akar umbi walaupun melalui pelbagai isu. – BERNAMA
Post a Comment