Headlines News :
Home » » MBPP NAFI CADANGAN PEMBANGUNGAN SEMULA KAMPUNG SELUT

MBPP NAFI CADANGAN PEMBANGUNGAN SEMULA KAMPUNG SELUT




GEORGETOWN - Dakwaan kononnya Kampung Selut, Sungai Pinang di sini bakal lenyap untuk pembangunan semula disangkal.

Datuk Bandar, Datuk Patahiyah Ismail berkata, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) tidak mempunyai sebarang cadangan untuk membangunkan kawasan perkampungan itu.

"Berdasarkan laporan media kononnya pemaju ada memberitahu penduduk bahawa kawasan itu ditetapkan untuk pembangunan semula adalah tidak benar kerana MBPP tiada cadangan seperti itu.

"Skim perumahan awam MBPP di kampung itu adalah rancangan melegakan kesesakan (slum clearance programme) iaitu rumah kediaman didirikan antara tahun 1963 hingga 1968," katanya kepada media hari ini.
Menurutnya, keseluruhan rumah kediaman di kampung itu adalah 211 unit dan hanya 109 rumah sesebuah yang dipajak 99 tahun.

"Sebanyak 102 unit iaitu 96 unit rumah teres dan enam unit rumah sesebuah disewa. Tawaran pajakan rumah kediaman adalah dikhaskan kepada pemilik rumah setinggan yang dahulunya dirobohkan MBPP.
"Mereka diberi tawaran sewa sahaja. Kadar sewa hanya RM70 sebulan untuk sebuah rumah teres dan tidak pernah dinaikkan sejak 2001," katanya.

Mengenai borang kaji selidik oleh MBPP dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) seperti didakwa penduduk, Patahiyah berkata, ia hanya menyediakan borang kaji selidik bagi memperoleh pendapat penghuni sama ada berpuas hati dengan keadaan rumah yang dihuni dan persekitaran atau memerlukan penambahbaikan dan perubahan.

Beliau berkata, kaji selidik itu mendapati majoriti penduduk kampung itu berpuas hati dengan keadaan sedia ada.

"Majoriti berpuas hati dengan keadaan sedia ada dan MBPP bukan pemegang amanah tetapi merupakan pemilik tanah yang sah dalam surat hak milik tanah.

"Saya juga sudah mengarahkan Ahli Majlis MBPP membuat laporan polis terhadap media yang mengeluarkan laporan palsu berhubung isu ini esok (hari ini)," katanya.

Dalam laporan sebelum ini, lebih 5,000 penduduk Kampung Selut, Sungai Pinang  berhadapan dengan risiko kehilangan tempat tinggal apabila kawasan berkenaan dikatakan akan dibangunkan semula oleh pemaju swasta.
Kampung yang majoritinya dihuni penduduk Melayu itu sejak 1960-an bakal dimajukan sebagai pembangunan bercampur kerana kedudukannya begitu strategik dan berhampiran dengan pusat bandar raya.
Desas desus mengenai pembangunan di kawasan berkenaan mula tersebar apabila penduduk kampung sebelum ini dikatakan menerima surat kaji selidik dari pihak berkuasa tempatan (PBT) pada Jun lalu yang antara lain ingin tahu sama ada mereka bersetuju atau tidak dengan pembangunan dilaksanakan di situ.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger