Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang hari ini menyelar tindakan pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang bertindak merobohkan struktur logo Umno di Menara Umno Negeri di Jalan Macalister di sini semalam dengan menyifatkan tindakan MBPP itu sebagai tidak mengikut prosedur dan dibuat secara tergesa-gesa.
Pengerusinya Datuk Zainal Abidin Osman berkata pihaknya berasa kesal, kecewa dan marah terhadap sikap kerajaan DAP yang telah mengarahkan penguat kuasa berbuat demikian yang seolah-olah mahu menindas Umno.
"Tindakan MBPP ini sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan tidak mengikut prosedur di bawah Akta 133, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974. Kami mahu meminta MBPP untuk melihat dan mengkaji serta jangan tergesa-gesa mengambil apa-apa tindakan tanpa merujuk kepada Akta 133 yang digubal pada tahun 1974 ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata di bawah Seksyen 72 (6) Akta 133, telah termaktub dengan terperinci bahawa apa-apa bangunan yang berpunya sama ada struktur yang menjadi sebahagian daripada bangunan yang ada pemilik, sekiranya MBPP mendapati ia tidak mematuhi apa-apa peraturan, maka hendaklah diberi notis selama 30 hari untuk pihak bangunan melakukan tindakan sesuai untuk memulihkan keadaan mengikut prosedur.
"Tindakan MBPP ini terang-terang tidak mengikut prosedur dan akta dalam menjalankan penguatkuasaan," katanya.
Zainal berkata, apa yang mengecewakan tindakan merobohkan struktur logo itu dibuat setelah perbincangan dilaksanakan apabila MBPP meminta pihak pengurusan bangunan Umno negeri memberikan serahan dokumen terperinci bagi memohon permit untuk membenarkan logo diletakkan di bangunan bawah menara itu.
"Kita dah nak pergi hantar secara terperinci dokumen yang diperlukan untuk permit dan dah setuju nak pergi hantar pada pagi Isnin ini. Tapi petang Jumaat (semalam) mereka dah ambil tindakan. Ini satu perkara yang tidak bertanggungjawab, tidak ada budi bicara, kita dah bincang, dilanggar pula
perjanjian dan terus datang merobohkan struktur logo," katanya.
Beliau turut menegaskan walau apa juga keadaan, Umno Pulau Pinang tetap akan mengekalkan tempat peletakan logo tersebut.
Beliau turut meminta kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP dan MBPP agar tidak berdolak dalih lagi selepas ini dan memberikan segera permit untuk membenarkan logo tersebut berada dan diletakkan ditempat seperti yang dimahukan Umno negeri.
Semalam penguat kuasa daripada MBPP telah merobohkan struktur tulisan Umno yang didirikan di hadapan jalan masuk ke bangunan tersebut. - Bernama
Post a Comment