Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini menafikan dakwaan penangguhan pemilihan UMNO adalah untuk memberi ruang bagi membersihkan isu hutang 1MDB.
Beliau berkata sebaliknya penangguhan itu bertujuan memperkasakan parti serta memberi fokus kepada agenda pembangunan negara yang lebih efektif.
“Keputusan itu adalah sebulat suara di peringkat akar umbi untuk lebih fokus kepada perkara yang mempunyai keutamaan kepada negara. Jika pemilihan diteruskan, mungkin akan timbul perkara yang tidak sewajarnya buat masa ini,”
katanya.
katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program ‘Shopping Raya 2015 bersama Anak-Anak Yatim dan Kurang Bernasib Baik’ di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan untuk menangguhkan pemilihan yang dijadual pada tahun depan selama 18 bulan mengikut Fasal 10.16 perlembagaan parti yang memberi hak kepada Majlis Tertinggi (MT) untuk menangguhkan pemilihan di peringkat MT, bahagian dan cawangan.
Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata tempoh penangguhan itu akan dimanfaatkan dengan pelbagai program bagi persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Seramai 880 anak yatim seluruh Kuala Lumpur dan Putrajaya diraikan pada program itu untuk membeli kelengkapan persiapan Aidilfitri, manakala program sama untuk anak yatim di Labuan akan diadakan pada 2 Julai.
Tahun ini, sebanyak RM130,000 telah disumbangkan oleh Yayasan Wilayah Persekutuan sebagai membantu mereka yang kurang bernasib baik itu untuk turut serta merasai keceriaan menyambut perayaan.
Program yang diadakan dengan kerjasama Pergerakan Puteri UMNO Wilayah Persekutuan serta pusat membeli-belah AEON itu turut menyampaikan sampul raya sebanyak RM50, serta RM200 untuk membeli barangan keperluan Aidilfitri.
Sementara itu, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata penangguhan pemilihan UMNO bertepatan dengan hasrat mengukuhkan jentera parti demi menghadapi PRU14 akan datang.
“Saya yakin bahawa semua parti ada objektif yang sama untuk pastikan bahawa pada PRU akan datang kita semua perlu fokus dan bersatu padu beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan Program Pendidikan Khas Intergrasi (PPKI) Komuniti Chest di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sam Yoke di sini, hari ini.
Liow berkata langkah yang dibuat oleh Presiden UMNO itu juga adalah bagi menumpukan usaha pada pembangunan masyarakat dan negara kerana perkara tersebut adalah lebih penting berbanding agenda lain.
Post a Comment