Headlines News :
Home » » BANYAK TEMPAT DESTINASI PELANCONGAN MENARIK DI BAYAN LEPAS - NORDIN

BANYAK TEMPAT DESTINASI PELANCONGAN MENARIK DI BAYAN LEPAS - NORDIN



BAYAN LEPAS 11 Ogos - Pantai Batu Feringghi dekat sini sering menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara sebagai destinasi mandi-manda yang terkenal di negeri ini.

Namun, sebenarnya tidak ramai mengetahui bahawa ada lagi kawasan yang amat cantik dan berpotensi menjadi destinasi pelancongan jika diketengahkan pihak berwajib yang terletak di kawasan Bayan Lepas atau lebih tepat lagi Teluk Kumbar.

Menyebut nama Tanjung Asam dan Teluk Bayu mungkin agak janggal didengar oleh orang luar.

Namun, kawasan itu terkenal dalam kalangan penduduk tempatan sebagai tempat berkelah di hujung minggu dan lokasi mandi-manda yang memiliki pantai yang cantik.

Menyedari hakikat itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Nordin Ahmad meminta pihak berwajib memajukan kawasan itu sebagai destinasi ekopelancongan baharu di negeri ini.

Menurutnya, kawasan Tanjung Asam dan Teluk Bayu memiliki keindahan semula jadi yang menarik untuk dilakarkan dalam landskap pelancongan negeri ini, selain mampu menaikkan nama Bayan Lepas sebagai destinasi yang wajib dikunjungi pelancong.

Kata Nordin, kerajaan DAP Pulau Pinang dilihat hanya menumpukan kawasan Georgetown serta Batu Feringghi untuk dimajukan sebagai destinasi pelancongan sehingga mengabaikan kawasan lain yang memiliki potensi sama.

"Kawasan Bayan Lepas memiliki lokasi ekopelancongan yang bukan sedikit untuk dimajukan seperti pantai Tanjung Asam dan Teluk Bayu serta kawasan perkampungan tradisi di Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul.

"Selain itu, terdapat dua pulau iaitu Pulau Kendi dan Pulau Rimau yang boleh dimajukan sebagai lokasi tumpuan pemancing kerana amat kaya dengan khazanah marin," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurut Nordin, kawasan Teluk Kumbar juga setanding dengan Balik Pulau dalam pengeluaran durian seperti dihasilkan di Bukit Pak Sharif yang memiliki dusun durian amat luas.

Tambah beliau, kawasan kampung tradisi di kawasan itu juga sesuai untuk dimajukan sebagai lokasi inap desa seperti di Kampung Nelayan Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul.
Tidak lupa katanya, kawasan itu juga terkenal dengan beberapa restoran mi udang seperti Ilyana Cafe dan Ayu Mee Udang yang setanding dengan juadah itu di Sungai Dua dekat Butterworth atau Pulau Aman kerana sumber lautnya segar dan diperoleh terus daripada nelayan setempat.

"Kawasan ini masih kekurangan kemudahan seperti resort dan hotel, menyebabkan namanya agak tenggelam dalam kalangan pelancong kerana mereka tiada pilihan untuk menginap.

"Hanya terdapat beberapa calet milik persendirian di kawasan ini berhampiran pantai, namun kemudahannya terhad kerana dibina tanpa sumber kewangan yang kukuh," ujarnya.
Sementara itu, seorang pengunjung yang ditemui di Pantai Tanjung Asam mengakui kawasan itu memiliki pantai yang cantik dan mampu dimajukan sebagai destinasi pelancongan alternatif di negeri ini.

Bagi Abdul Rashid Nurong, 39, dia sendiri terkejut apabila melihat kawasan Tanjung Asam yang menghadap Selat Melaka memiliki kawasan laut yang bersih dan boleh dijadikan tempat mandi-manda bersama-sama keluarga.

"Kali pertama saya datang ke sini apabila pulang ke kampung isteri di Tanjung Tokong dan tidak sangka ada lokasi cantik seperti ini untuk anak-anak saya mandi-manda, selain Batu Feringghi.

"Namun, saya harap lebih banyak kemudahan seperti bilik persalinan dan tandas dengan bekalan air bersih disediakan bagi memberi keselesaan kepada pengunjung membersihkan diri selepas mandi di laut," katanya yang berasal dari Johor Bahru, Johor.

Pendapat sama turut dikongsi seorang lagi pengunjung yang hanya ingin dikenali sebagai Khairul yang mengakui kawasan Tanjung Asam cukup cantik dan sesuai sebagai lokasi manda-manda.

Menurutnya, pantai itu berbeza dengan Batu Feringghi yang semakin tercemar dengan pembangunan serta air lautnya yang kotor ekoran sisa kumbahan yang tidak diuruskan dengan baik.

"Pada saya kawasan Tanjung Asam masih asli dan perlu dipelihara keindahannya kerana mampu diketengahkan sebagai destinasi pelancongan baharu di Bayan Lepas khasnya dan Pulau Pinang amnya," kata pekerja swasta itu.

Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger