Headlines News :
Home » » SUNGAI JURU TERSENARAI SUNGAI PALING TERCEMAR ASIA TENGGARA MEMALUKAN - ADUN BN

SUNGAI JURU TERSENARAI SUNGAI PALING TERCEMAR ASIA TENGGARA MEMALUKAN - ADUN BN




PULAU PINANG 10 Dis. - Ketiadaan tindakan tegas dalam memastikan aset-aset semula jadi negeri ini sentiasa terpelihara menarik perhatian Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila Shariful Azhar Othman (BN-Bertam) membangkitkan isu Sungai Juru di Perai yang terus tersenarai sebagai sungai paling tercemar di Asia Tenggara.

Tegasnya, pencemaran teruk di sungai berkenaan menyebabkannya dianggap sebagai 'tong sampah' oleh penduduk tempatan.

"Sungai ini mendapat perhatian ramai termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang mahukannya dibersihkan dan tidak menjadi sungai mati.

"Tahap pencemaran di situ bukan sahaja memberi kesan kepada hidupan air tetapi juga mampu menyebabkan kematian manusia berdasarkan kandungan toksik, sisa minyak dan sisa kumbahan.
"Jadi adalah menjadi harapan sekiranya peruntukan tambahan disalurkan oleh kerajaan negeri sebagai usaha untuk membersihkan sungai berkenaan dan sungai- sungai lain di negeri ini," katanya di sini hari ini.

Selain itu, beliau juga mahukan kerajaan negeri mengambil tindakan lebih tegas bagi memastikan pemaju yang membangunkan puncak Bukit Relau di sini menjalankan kerja-kerja penanaman semula pokok di atas bukit berkenaan yang telah ditebang sebelum ini.
"Tindakan mengeluarkan arahan memberhentikan kerja tanah dan denda belum cukup bagi menghukum pemaju terbabit supaya lebih peka dengan alam sekitar pada masa depan," katanya.

Cadangan Shariful itu ternyata mendapat reaksi positif daripada R.S.N. Rayer (DAP-Seri Delima) yang sebelum ini sering mengkritik 'pedas' cadangan atau pandangan wakil rakyat BN.
Rayer turut mencadangkan supaya pemaju berkenaan disenaraihitamkan sehingga kerja penanaman pokok di puncak bukit itu dilaksanakan.

"Teguran oleh Bertam adalah bernas dan setujukah Yang Berhormat sekiranya saya cadangkan agar pemaju terlibat disenaraihitamkan daripada kelulusan mana-mana projek lain sehingga pokok yang ditanam semula itu mulai tumbuh?

"Kerajaan negeri perlu mengambil tindakan yang lebih tegas dalam usaha memulihara alam sekitar kita," ujarnya.
Reaksi sama turut disuarakan Muhammad Farid Saad (BN-Pulau Betong) yang menyatakan beliau amat setuju dengan cadangan Rayer supaya pemaju berkenaan disenaraihitamkan.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger