Ketua Menteri, Lim Guan Eng memohon maaf kepada Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Abdul Hamid (BN-Teluk Ayer Tawar) berikutan gelaran ‘nenek rasis’ yang digunakannya semalam.
Walau bagaimanapun, beliau seolah-olah dilihat tidak ikhlas berbuat demikian berikutan permohonan maaf tersebut hanya untuk gelaran ‘nenek’ sedangkan Setiausaha Agung DAP itu tetap menyifatkan Jahara sebagai seorang yang rasis.
“Jika Ketua Pembangkang berasa tersinggung apabila saya menggelarkan beliau sebagai seorang ‘nenek rasis’ kerana membabitkan jantina, maka saya memohon maaf kerana menggunakan perkataan nenek itu.
“Bagaimanapun, dia tetap seorang rasis kerana menyalakan api kebencian melibatkan kaum dan agama apabila mendakwa saya telah meluluskan pertukaran nama Pulau Jerejak kepada Pulau Mazhu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam Guan Eng menggelarkan Jahara sebagai ‘nenek rasis’ kerana dikatakan cuba membangkitkan isu perkauman apabila menuduh kerajaan DAP Pulau Pinang hanya mengambil tindakan terhadap peniaga Melayu.
Sementara itu, Jahara dalam sidang akhbarnya menggesa Guan Eng membuat permohonan maaf secara terbuka di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) berikutan gelaran ‘nenek rasis’ yang ditujukan kepadanya.
Tegas Jahara, tidak sepatutnya kenyataan berkenaan dikeluarkan Guan Eng yang merupakan pemimpin utama di negeri ini dan perkara tersebut disifatkannya amat keterlaluan.
“Saya berasa sangat terhina dan kecewa dengan gelaran itu yang secara tidak langsung turut menghina semua ibu dan nenek di negara ini.
“Sepatutnya saya sebagai Ketua Pembangkang diberi ruang untuk bersuara dan apa yang saya perkatakan semalam bukan bersifat rasis tetapi mempertikaikan tindakan tidak adil pihak berkuasa tempatan dalam menguatkuasakan undang-undang.
“Kalau sudah peniaga makanan laut di pantai Bagan Ajam, Butterworth itu Cina, saya katakan Cina tetapi yang menjadi persoalan ialah mengapa peniaga berkenaan hanya dikenakan kompaun sedangkan dua peniaga Melayu di Persiaran Gurney dirobohkan gerainya," jelasnya.
Post a Comment