Headlines News :
Home » » PEMUDA UMNO GEMPUR DI KUBU KUAT PAS #PRKSgLimau

PEMUDA UMNO GEMPUR DI KUBU KUAT PAS #PRKSgLimau


Kempen Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Limau yang masuk hari ketujuh menyaksikan Barisan Nasional (BN) berjaya memasuki kawasan-kawasan peti undi yang dahulunya merupakan kubu kuat parti pembangkang.

 Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang melakukan walk-about di peti undi Bukit Besar dan Matang Buluh di sini hari ini berkata, kejayaan itu merupakan satu petanda baik bagi BN untuk menguasai semula DUN Sungai Limau yang dikuasai Pas sejak sekian lama. 

 "Satu isyarat yang baik, saya diberitahu dahulu nak naikkan bendera BN pun tak boleh di Bukit Besar, Matang Buluh dan Selengkoh. Sekarang ini kita tengok bendera BN berkibar di sana, begitu juga poster dan banting calon BN, Dr. Ahmad Sohaimi Lazim juga sudah dinaikkan.

 "Malah saya diberitahu ada orang kuat Pas yang sudah bersama kita dan ada yang menjenguk ke bilik gerakan kita. Maksudnya mereka sudah bersedia untuk membuat penghijrahan. 

 "Slogan 'Berani Hijrah' yang dibawa oleh Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Mahathir amat tepat sekali," kata Khairy dalam sidang akhbarnya. 

 Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, jika BN berjaya mengurangkan bilangan undi Pas di peti-peti undi yang menjadi kubu kuat parti itu, secara tidak langsung akan menyumbang kepada usaha merampas kembali DUN berkenaan. 

 "Mana-mana yang kita kenal pasti sebagai kawasan hitam kita sudah mula masuk. 

Nak kata kita menang di kawasan itu tidak tahu lagilah, tapi sekurang-kurangnya kita nampak sudah ada peningkatan. Kalau kita boleh kurangkan majoriti Pas di kubu mereka saya yakin secara keseluruhan kita boleh capai kejayaan," kata beliau. 

 Sementara itu, Khairy berkata, Pemuda BN mengambil pendekatan sederhana dalam berkempen di Sungai Limau memandangkan para penduduk di kawasan berkenaan tidak boleh menerima kempen yang melampau. 

 "Kempen kita memang rancak tetapi dari segi pendekatan kita akan bersederhana. Sebab itu kita tak ada ceramah, tak ada konvoi besar-besaran. Kita diberi nasihat oleh pemimpin masyarakat bahawa rakyat di sini tidak suka cara kempen yang begitu gah. Tetapi setiap hari kita ada program cuma dia punya pendekatan adalah sederhana," katanya. - UTUSAN ONLINE

 
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger