Headlines News :
Home » » KERAJAAN TERUS BANTU MEMPERKASAKAN PEMBANGUNAN EKONOMI MELAYU & BUMIPUTRA

KERAJAAN TERUS BANTU MEMPERKASAKAN PEMBANGUNAN EKONOMI MELAYU & BUMIPUTRA



Kerajaan hari ini mengumumkan langkah dan strategi terbaharu memperkasakan ekonomi Bumiputera, berpayungkan Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB), yang akan ditubuhkan tidak lama lagi, dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib berkata MEB akan menggantikan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) dalam melaksanakan lima strategi utama sebagai kelangsungan implementasi agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera.

Berucap pada Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di sini, Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata antara fokus pelaksanaan ialah pemantapan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat serta memperkukuh pemilikan aset.

"Kerajaan mendengar luahan rasa yang dilontarkan oleh masyarakat Bumiputera berhubung tahap penyertaan dalam program pembangunan sosioekonomi."

Antara langkah utama dalam strategi itu ialah penetapan sasaran ke atas penyertaan Bumiputera, termasuk perolehan kepada vendor oleh semua Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Kata Najib maklumat tersebut wajib dimasukkan sebagai Petunjuk Prestasi Utama atau KPI mereka.

Beliau berkata semua kementerian juga akan mewujudkan Unit Pembangunan Bumiputera (UPB) yang bertanggungjawab merangka cadangan dan melaksana inisiatif agenda Bumiputera.

Bagi memantapkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat pula, Skim Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) akan dilancarkan oleh Permodalan Nasional Bhd dengan suntikan sebanyak 10 bilion unit saham.

Ekuinas pula akan diberi tanggungjawab untuk mengambil alih peranan sebagai peneraju program Skim Jejak Jaya Bumiputera.

Program tersebut akan ditransformasikan melalui ekuiti dan kepakaran pengurusan bagi membimbing syarikat-syarikat Bumiputera yang di senarai di Bursa Malaysia.

"Bagi memastikan semua agenda pembangunan sosioekonomi Bumiputera dapat dilaksanakan secara efektif, sistem penyampaian juga akan diperkemas dan diperketat untuk mewujudkan ekosistem yang cekap, komprehensif dan konstruktif,” kata Najib.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger