Headlines News :
Home » » Kerajaan Pusat hulur bantuan kepada mangsa tragedi runtuhan

Kerajaan Pusat hulur bantuan kepada mangsa tragedi runtuhan



- Sebuah jawatankuasa inkues ditubuhkan bagi menyiasat dan memutuskan status Lim Chin Aik, 44, yang dipercayai hilang dalam kejadian runtuhan rod konkrit penebat kilat Menara UMNO di Jalan Macalister akibat ribut pada Khamis lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas beliau mengadakan perbincangan dengan pihak terlibat seperti polis, bomba, pasukan forensik, kerajaan DAP Pulau Pinang dan keluarga mangsa.

"Setelah forensik menjalankan pemeriksaan hari ini, tiada sebarang bukti ditemui tentang mangsa yang dikhuatiri terperangkap dalam lubang yang terbentuk itu.
"Jadi, kita putuskan penubuhan inkues bagi menyiasat perkara ini. Inkues itu akan bermula esok dan mengambil masa tiga hari," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat tempat kejadian dan mengadakan mesyuarat berhubung tragedi berkenaan di sini hari ini.

Turut serta Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Ahmad Zahid berkata, inkues berkenaan akan diketuai Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi dan keputusannya diserahkan kepada beliau pada 20 Jun ini.

"Ini perlu dilakukan supaya Jabatan Pendaftaran Negara dapat mengeluarkan sijil kematian dan anggota keluarga boleh menggunakannya untuk membuat tuntutan insurans dan sebagainya.

"Saya juga akan berbincang dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim tentang bantuan yang dapat disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana mangsa adalah pencari nafkah kepada keluarga dan tiga anaknya. Selain itu, UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri juga akan menghulurkan bantuan," katanya.
Ahmad Zahid berkata, walaupun kejadian tersebut disifatkan sebagai bencana alam, beliau memohon maaf kepada keluarga mangsa kerana kesulitan yang berlaku dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat dalam operasi.

Dalam kejadian ribut yang disifatkan terburuk pernah melanda negeri ini serta mengorbankan dua nyawa, rod penebat kilat yang terletak di atas Menara UMNO patah dipukul angin kuat, seterusnya menghempap lapan kenderaan yang ketika itu melalui jalan berkenaan.

Akibatnya, terbentuk satu lubang selebar tiga meter dan ketika kerja-kerja pembersihan dijalankan pada Sabtu lalu, pekerja menemui bahagian bumbung sebuah kereta yang tertimbus di dalam lubang itu.
Pemeriksaan lanjut kemudiannya menemukan casis kereta jenis Honda City dan sepadan dengan yang dilaporkan hilang sehari selepas kejadian.

Usaha pasukan mencari dan menyelamat bersama kontraktor menggali kawasan berkenaan sehingga mencapai kedalaman lapan meter, bagaimanapun gagal menemui mayat mangsa.

Bangkai kereta berkenaan hanya berjaya dikeluarkan selepas 48 jam operasi dijalankan.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kerja-kerja mencari terpaksa dihentikan kerana mendapat nasihat jurutera yang mengatakan berbahaya kepada bangunan di sekeliling.

"Akibat kerja-kerja mencari yang dilakukan sebelum ini, beberapa bangunan seperti masjid yang terletak di tempat kejadian mengalami keretakan.

"Kita terpaksa hentikan operasi kerana bimbang kesan jangka panjang dan ini keputusan terbaik," katanya.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger