Umno Bahagian Permatang Pauh akan memberi sokongan penuh kepada bakal calon pilihan pucuk pimpinan parti bagi memastikan kerusi Parlimen kawasan itu dikuasai semula Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
"Kami sudah lama dahagakan kemenangan di Permatang Pauh, sesiapa sahaja yang dipilih kami akan sokong, apa yang penting adalah kemenangan parti," kata Ketuanya Datuk Abdul Jalil Abdul Majid.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Asam Pedas Jalinan Rakyat Parlimen Permatang Pauh anjuran Pergerakan Wanita Umno bahagian itu di sini hari ini. Katanya beliau dan jentera parti bahagian telah memulakan kerja di peringkat akar umbi melalui pelbagai inisiatif mendekati masyarakat setempat terutama di kalangan 20,000 pengundi atas pagar.
Abdul Jalil berkata hasil maklumat menunjukkan kebanyakan mereka memberikan maklum balas positif dan beliau yakin kemenangan akan menyebelahi BN. - Bernama
Post a Comment