PERISTIWA Raja Permaisuri Agong ditunjuk isyarat lucah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula diejek di Pulau Pinang tidak boleh dibiar berlalu begitu sahaja.
Bagi saya, ia menggambarkan sudah wujud simptom atau tanda-tanda bahawa Malaysia sedang berdepan dengan satu lagi gejala destruktif baru dalam rangka pembangunan nasional kita.Gejala itu mungkin sudah diperam sekian lama hanya menunggu saat-saat yang paling sesuai untuk dizahirkan.
Kunjungan Najib sempena sambutan Tahun Baru Cina yang sepatutnya menjadi hari muhibah rasanya amat tidak bertepatan dengan resepsi yang beliau dan keluarga terima.
Saya tidak pernah mendengar atau terbaca dalam mana-mana negara tidak kira apa amalan pemerintahan sama ada komunis, sosialis, junta tentera mahupun demokratik seperti di Malaysia di mana rakyat memilih menunjukkan sentimen politik dalam acara seperti di Pulau
Pinang itu dengan mengenepikan langsung nilai-nilai adat budaya serta kesantunan masyarakat Timur.
Pinang itu dengan mengenepikan langsung nilai-nilai adat budaya serta kesantunan masyarakat Timur.
Kelihatan dalam kes yang berlaku di Pulau Mutiara itu, mereka yang terlibat terang-terangan telah memilih satu perlakuan yang begitu hina, biadap, hilang kesopanan serta jauh sekali daripada tata rukun akhlak yang dipusakai turun temurun oleh kita semua tidak kira bangsa, agama dan fahaman politik.
Saya yakin mereka yang terlibat itu pun sama seperti kita juga telah mengalami proses akulturasi dan sosialisasi yang sama.
Insiden itu berlaku di Pulau Pinang, negeri yang ditadbir oleh DAP rakan sejawat Pas dan PKR. Saya tidak berhasrat untuk mengheret politik dalam isu ini. Saya lebih terpanggil untuk menilainya dari sudut sosiobudaya.
Pertama, pada hemat saya apa yang telah berlaku tidak diserlah secara sepontan. Besar kemungkinan insiden tersebut adalah hasil daripada satu bentuk perancangan yang dizahirkan secara berorkestrasi.
Kedua, apabila disebut ada unsur orkestrasi sudah tentu pula ada arahan dan pengarahan. Perlu diketahui siapa peneraju dan bagaimana penerajuan itu dibuat?
Ketiga, apakah insiden ini akan tinggal dan lenyap di situ sahaja atau ianya boleh dianggap sebagai persiapan rapi kepada satu “acara” yang lebih besar berkait dengan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)?
Keempat, tidakkah insiden jijik ini menggambarkan bahawa bagi setengah-setengah pihak, apa pun usaha yang diambil untuk membentuk negara bangsa bersendikan kerukunan dan ketatasusilaan seperti program Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tidak lebih daripada menyiram air di daun keladi?
Kelima, kita difahamkan bahawa pencetus 13 Mei 1969 mempunyai iras persamaan dengan kedua-dua insiden di Pulau Pinang itu. Tidak hairanlah sejak akhir-akhir ini, ada pihak yang berminat menonjolkan pelbagai senario ngeri yang mungkin akan tercetus berikutan dengan ke arah mana keputusan PRU13 akan memihak dan sebagainya.
Keenam, bagi saya seandainya jalur penaklukan DAP meluas ke negeri-negeri lain seperti yang mereka sasarkan, dikatakan bahawa angka keberangkalian yang agak besar menunjukkan bahawa insiden-insiden di Pulau Pinang itu dalam nisbah yang lebih besar mungkin menyeluruh boleh menjadi kenyataan.
Bukan sahaja setakat menjadi kenyataan bahkan lebih berat daripada itu sesuatu yang sukar digambarkan kemungkinan akan terjadi.
Ketujuh, gambaran yang terbentang di hadapan sama ada dalam bentuk “overt” atau “covert” dan disokong pula oleh dua insiden di Pulau Pinang itu menunjukkan bahawa keamanan dan kesejahteraan Malaysia sedang diperjudikan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Akhirnya kelapan, insiden biadap dan kurang ajar kepada Raja Permaisuri Agong itu merupakan satu bentuk manifestasi untuk merendah dan menghina Institusi Diraja dalam negara kita. Insiden yang seumpamanya bukan lagi perkara baru.
Sudah berlaku beberapa peristiwa yang kebetulannya datang daripada kelompok parti politik yang sama yang berterusan menzahirkan sikap tidak menghormati dan memandang rendah kepada institusi tersebut. Ini menguatkan lagi teori bahawa sekiranya kelompok tersebut berjaya ke Putrajaya nescaya sistem Raja Berlembagaan negara kita akan terancam.
Terserah kepada pihak berkuasa untuk menilai dan mengambil tindakan sewajarnya. Saya yakin kepada kemampuan, keupayaan dan kebolehan mereka. Bagi saya pihak berkuasa tidak perlu menunggu deretan laporan polis dibuat.
Setakat maklumat zahir yang ada barangkali sudah memadai untuk pihak berkuasa mengambil satu tindakan drastik dan ‘decisive’ terhadap perkara ini.
Menyerahkan bulat-bulat kepada pihak berkuasa pun ada keterbatasannya yang tersendiri. Rakyat semua khasnya masyarakat Islam dan Melayu yang lebih afdal menggunakan kuasa penentu mereka selain daripada berusaha dan bertawakal untuk melihat agama dan bangsa tidak diinjak-injak oleh mereka yang dilihat sudah hilang kewarasan dan pertimbangan.
- Datuk Dr Hasan Ali, Presiden Jati
Post a Comment