NIBONG TEBAL 9 Feb. - Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) memperuntukkan RM17 juta untuk membina 140 unit rumah berkembar mampu milik di Taman Pancur Utama, dekat sini.
Projek membabitkan kawasan seluas 4.4 hektar itu dimulakan sejak Oktober tahun lalu dijangka siap pada April 2014.
Pengerusi Perda, Datuk Azhar Ibrahim berkata, projek tersebut dilaksanakan tanpa membebankan rakyat kerana dijual dengan harga antara RM170 hingga RM200,000 sebuah.
Beliau berkata, Perda tidak membina rumah mewah kerana memahami tanggungjawab sosial untuk membolehkan rakyat negeri ini memilik rumah mampu milik.
"Kita bukan macam kerajaan DAP negeri mahu membina rumah mampu milik kepada rakyat dengan harga RM400,000 seunit, ini semua janji palsu Ketua Menteri, Lim Guan Eng untuk rakyat.
"Macam mana dia nak bina rumah kalau Bajet 2013 itu tidak dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri yang lalu. Ini semua pembohongan untuk menipu rakyat kerana pilihan raya sudah dekat," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan projek perumahan tersebut di sini semalam.Yang hadir sama Pengurus Besar Perda, Saringat Hassan.
Azhar yang juga Ketua Pembangkang berkata, sejak mentadbir negeri ini pada 2008 tidak pernah Guan Eng membentangkan bajet untuk pembinaan rumah mampu milik di negeri ini.
Sementara itu, beliau berkata, Perda sedang berunding dengan kerajaan untuk membina Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Ara Kuda, Tasek Gelugor tidak lama lagi.
Menurutnya, Perda mempunyai tanah seluas 102.4 hektar untuk tujuan itu.
"Kita masih dalam perbincangan dengan PR1MA kerana tanah itu dibeli Perda dan PR1MA juga perlu membayar kos bagi projek tersebut.
"Hal ini berbeza dengan kerajaan negeri Perak, Johor dan Pahang yang mempunyai tanah untuk ditawarkan secara percuma kepada PR1MA," ujarnya.
Post a Comment