Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pemimpin atau anggota Umno yang cuba mensabotaj parti dengan membocorkan maklumat mengenai calon serta jentera parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) kepada parti pembangkang.
Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kali ini Umno tidak akan berkompromi dengan golongan berkenaan dan jika mereka didapati bersalah, Jawatankuasa Disiplin akan mengambil tindakan terhadap pihak yang bersekongkol dengan pembangkang.
"Sebelum ini, tindakan telah diambil selepas PRU-12 lalu dan kali ini Jawatankuasa Disiplin akan melakukan kaedah sama tetapi sebelum pilihan raya umum diadakan.
"Sudah tentunya amaran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) ialah mengingatkan supaya tidak ada mana-mana individu menjual maklumat atau membocorkan rahsia dan bersekongkol dengan mereka (pembangkang), dan jika ia dilakukan, mereka harus membayar dengan harga yang mahal," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan bersama pengamal media ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan pada Isnin.
Mengenai persiapan menjelang pilihan raya, Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, beliau bersama dua lagi Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein turut membantu Perdana Menteri dalam memberikan input mengenai calon yang akan bertanding.
"Kami juga diminta membantu meneliti calon di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan memberi maklumat mengenai mereka kepada Perdana Menteri.
"Bagaimanapun hak mutlak siapakah calon yang layak bertanding ditentukan oleh Perdana Menteri sendiri," katanya sambil menyeru semua pemimpin dan anggota Umno serta parti komponen BN supaya akur dengan keputusan yang ditentukan nanti.-4/9/2012
Post a Comment