BUTTERWORTH, 2 Sept — Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini mengutuk perbuatan biadap dan tidak matang berpolitik oleh segelintir pihak yang bertindak memijak gambar pemimpin negara pada malam sambutan ambang merdeka di Kuala Lumpur pada Khamis lepas.
Beliau berkata tindakan itu merupakan amalan politik yang kotor diajarkan oleh kumpulan tertentu yang mahu mencetuskan haru-hara di negara ini.
“Perbuatan memijak gambar pemimpin dan meminta Jalur Gemilang diturunkan adalah amalan politik yang berbahaya kepada negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Batu Kawan di sini hari ini.
Zambry yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno mengulas tindakan biadap sebilangan peserta Perhimpunan Janji Bersih memijak gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin seri Rosmah Mansor pada malam sambutan ambang merdeka di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 30 Ogos lalu.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda Umno Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Batu Kawan berkata, perbuatan memijak gambar pemimpin negara dan menurunkan bendera adalah budaya politik yang boleh merosakkan negara.
Katanya bendera adalah simbol kedaulatan raja-raja yang tercatat dalam
perlembagaan negara tidak sewajarnya diperlakukan seperti itu.
Post a Comment