KLUANG, 16 Sept – Rakyat diingatkan supaya menolak budaya songsang yang dibawa oleh pembangkang kerana ia bertentangan dengan amalan kehidupan rakyat Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika memberikan peringatan itu berkata jika budaya songsang terbabit diterima, ia akan menghancurkan segala yang telah dicapai oleh negara ini dan rakyatnya.
“Kita perlu menentang pihak-pihak yang cuba membawa budaya songsang ke negara ini yang tidak secocok dan berbeza dengan amalan-amalan rakyat Negara ini. Budaya songsang ini akan menghancurkan negara, kita perlu menolak mereka,” katanya.
Timbalan Presiden UMNO itu berkata demikian dalam ucapannya di hadapan kira-kira 20,000 hadirin pada majlis Merdeka Raya anjuran Wanita UMNO Johor dan pertubuhan bukan kerajaan Johor di padang awam Kampung Melayu di sini hari ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran meminta rakyat berwaspada dengan tindakan pembangkang yang ketika ini bergerak ke merata tempat dalam Negara menggunakan bas untuk berkempen.
Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia di bawah pemerintahan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) telah berjaya membawa kemajuan terhadap rakyat dan negara keseluruhannya.
Katanya,
pendapatan per-kapita rakyat negara ini telah melonjak sehingga ke US$9,700 pada hari ini, suatu tahap yang amat tinggi bagi sebuah Negara membangun seperti Malaysia.
“
Selain itu, sejak merdeka kita juga telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan rakyat daripada 70 peratus ketika kita mula-mula merdeka kepada hanya 3 peratus pada ketika ini,” menurut beliau.
Pentadbiran negara yang ditunjangi oleh BN, kata Muhyiddin juga telah berjaya mewujudkan pelbagai institusi seperti universiti, institut, akademi serta lain lagi, bertujuan membina asas-asas kenegaraan kepada rakyatnya.
Menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP), katanya kemajuan dan pembangunan Malaysia akan dianjak ke tahap yang lebih tinggi, selain memastikan rakyat pelbagai kaum menerima pelbagai kemudahan asas di samping memperolehi pendapatan yang lebih tinggi.
Muhyiddin berkata, apa yang dilakukan oleh BN adalah bertentangan dengan pembangkang yang hanya pandai “menjanjikan bulan dan bintang” kepada rakyat tetapi gagal untuk menunaikannya.
Pembangkang menurutnya, juga pernah menyatakan bahawa segala perkara yang terkandung di dalam manifesto parti mereka bukanlah suatu janji dan oleh kerana itu, ia tidak perlu ditunaikan.
“Jikalau itu pandangan mereka (pembangkang), buat apa mereka menjaja perkara-perkara yang terkandung di dalam Buku Jingga mereka,” kata Timbalan Perdana Menteri sambil meminta rakyat supaya tidak mudah terpedaya.
Sementara itu, beliau turut meminta anggota Wanita UMNO dan Wanita BN supaya meneruskan program dan aktiviti mendekati rakyat, supaya segala permasalahan dihadapi rakyat dapat diselesaikan.
katanya, bukanlah masa untuk berehat dan leka ,sebaliknya, meneruskan segala aktiviti mendekati rakyat bagi memastikan BN kembali berkuasa pada pilihan raya umum yang akan datang ini.
Turut hadir pada majlis itu termasuk Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Wanita UMNO Johor Datuk Sharifah Azizah Syed Zain dan Ketua UMNO Bahagian Kluang Mohd Jais Sarday. – MediaUMNO
Post a Comment