PULAU PINANG, 4 Sept – “Saya yakin DUN seberang Jaya akan terus mampu mempertahankan kerusi BN malah akan mampu mempertingkatkan jumlah majoriti. Ini dapat saya lihat daripada sokongan yang diberikan kepada rakyat terutama dengan cara pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak yang benar-benar menyentuh hati rakyat.
“Cumanya, saya amat berharap agar semua ketua bahagian akan dapat lebih membantu ADUN dalam melaksanakan gerak kerja mendekati pengundi. Kita masih ada masa untuk memperbaiki segala kelemahan yang dikenalpasti. ADUN di peringkat akar umbi harus dibantu dalam segala aspek agar segala gerak kerja yang diatur dapat dilaksanakan dengan baik,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya Datuk Arif Shah Omar Shah.
Katanya, setiap ketua bahagian perlu memperluaskan skop pandangan dan bukan hanya tertumpu untuk memperkukuhkan kedudukan dalam parti kerana apa yang lebih penting adalah membantu parti memenangi lebih banyak kerusi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dalam mencapai sasaran dua pertiga majoriti.
Tambah beliau, masalah menjadi calon atau tidak seharusnya bukan menjadi keutamaan pemimpin kerana apa yang penting adalah matlamat memperkukuhkan parti di hati rakyat.
“Tidak salah sekiranya kita hendak menjadi calon tetapi itu bukan agenda utama sekarang ini. Apa yang penting ketika ini adalah gerak kerja membantu parti dan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak di PRU nanti.
“Di Pulau Pinang ini sendiri dapat kita lihat bahawa pembangkang sedang berusaha keras menabur pelbagai fitnah untuk meracuni pemikiran rakyat.
Namun ianya dapat dielakkan kerana apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri menafikan apa yang pembangkkang katakan.
“Namun kita juga harus terus membantu agar rakyat tidak terpengaruh dengan hasutan pembangkang.
Sebab itu saya katakan, Ketua Bahagian perlu membantu ADUN di bahagian masing-masing kerana Adun lebih mengenali para pengundi. Namun langkah ADUN agak terbatas sekiranya tidak mendapat bantuan daripada Ketua Bahagian,” ujarnya lagi kepada UMNO-Online.
Arif Shah melahirkan keyakinannya sekiranya semua peeringkat dapat memperbaiki segala kelemahan yang ada dan terus berganding bahu sudah pasti UMNO dan BN akan terus mendapat kepercayaan rakyat sekaligus menolak pembangkang yang kini dilihat terlalu yakin mampu merampas pucuk pimpinan negara.
“Di Pulau Pinang ini, pakatan pembangkang bukan sahaja terlalu yakin dapat mengekalkan penguasaan mereka di negeri ini malah amat yakin kononnya dapat menumbangkang BN dan merampas takhta pemerintahan negara. Sebab itu kita harus berusaha keras agar keyakinan mereka ini tidak menjadi kenyataan. Keyakinan mereka ini hanyalah sekadar angan-angan mat jenin,” ujarnya. – MediaUMNO
Post a Comment