Headlines News :
Home » » Ahmad Maslan cabar DAP ambil tindakan terhadap Ngeh

Ahmad Maslan cabar DAP ambil tindakan terhadap Ngeh




Pemimpin DAP pusat digesa supaya mengambil tindakan disiplin terhadap Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang mempersoal bantahan umat Islam terhadap filem kontroversi 'Innocence of Muslims'.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Penerangan Umno Malaysia, Datuk Ahmad Maslan berkata, tindakan disiplin itu perlu diambil sekiranya DAP benar-benar serius menghormati perasaan umat Islam di negara ini. "Saya menggesa supaya DAP mengenakan tindakan disiplin kepada Pengerusi DAP Perak itu kerana kalau tidak diambil tindakan, apabila minta maaf dilepas begitu sahaja, ia menggambarkan DAP tidak serius dalam menghormati perasaan umat Islam di negara ini.

"Tindakan beliau adalah suatu perkara yang menghina dan memperlekeh usaha umat Islam, jadi tindakan disiplin ini penting untuk dilaksanakan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Muafakat Ukhuwah peringkat negeri Kedah di Bakar Kapor di sini Jumaat.

 Sementara itu, Ahmad berkata sebelum ini DAP juga dilihat tidak mengambil tindakan tegas apabila ada pemimpin mereka yang menghina Jalur Gemilang.

"Jadi DAP ini parti apa? Parti yang langsung tidak ada semangat patriotik kepada negara? Kita menantikan tindakan tegas terhadap Pengerusi DAP Perak oleh pimpinan DAP kebangsaan," katanya. - BERNAMA
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger