PULAU PINANG, 28 Ogos – “Mansor patut berhenti berbohong. Jangan terus menegakkan benang yang basah semata-mata kerana takut hilang jawatan. Mansor patut sedar, bukan sahaja bukti minit mesyuarat PKR telah tersebar, tetapi bukti video juga akan didedahkan tidak lama lagi. Hanya tunggu masa sahaja.
“Penafian Mansor terhadap apa yang dikatakan dalam mesyuarat PKR adalah satu bukti bahawa Mansor hanya pentingkan jawatan dan bukannya mendahulukan kepentingan rakyat.
Mansor kini dalam ketakutan. Takut hilang jawatan seperti apa yang pernah terjadi kepada Fairus (Datuk Seri Mohd Fairus Khairuddin),” ujar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Zainal Osman.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penafian Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Mansor Osman berkaitan menggelar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sebagai angkuh.
Perkara tersebut tersebar apabila minit mesyuarat PKR yang dipengerusikan Mansor bocor dan ianya mendedahkan rasa tidak puas hati Mansor terhadap Guan Eng yang dikatakan bersikap biadap, angkuh dan tidak boleh dipercayai malah menggelar Guan Eng sebagai tokong.
Namun Mansor menafikan perkara tersebut dan hanya mengaku bahawa dia menggelar Guan Eng sebagai tokong yang membawa maksud sebagai ‘sanjungan tinggi dan penghormatan’ rakyat terhadap Guan Eng.
Tambah Zainal Abidin, gelaran tokong yang diberi Mansor kepada Guan Eng pula disifatkan keterlaluan. “Kita tak boleh nak samakan pemimpin atau sesiapa sahaja dengan tokong yang disembah. Sebagai seorang yang beragama Islam, perkara ini boleh meyimpangkan akidah.
“Jangan kerana taksub dan takut hilang jawatan, Mansor lupa hukum hakam agama. Sanggup menipu rakyat dan terus tegakkan perkara yang tidak benar. Sebagai pemimpin, Mansor seharusnya berani untuk berkata benar dan bersuara. Mengapa harus takutkan Guan Eng seperti Guan Eng itu adalah Tuhan.. Jangan jadi seperti lembu dicucuk hidung,” ujar Zainal lagi.
Penafian Mansor untuk mengelirukan rakyat mengenai perkara sebenar juga diibaratkan seperti memperbodohkan rakyat Pulau Pinang sendiri.
Menurut Zainal Abidin, rakyat Pulau Pinang semakin bijak dan tidak boleh diperkotak katikkan sesuka hati. Apatahlagi mereka yang beragama Islam amat kecewa dengan tindakan Mansor yang seakan menyamakan Guan Eng seperti Tuhan apabila memberi gelaran tokong.
“Saya harap rakyat negeri ini akan membuka mata mengenai sikap sebenar pemimpin seperti ini. Daripada apa yang berlaku ini dapat kita lihat mereka sebenarnya lebih risaukan jawatan daripada memperjuangkan nasib rakyat sendiri. Maka, kita tidak harus terus memberi mandat kepada mereka untuk menjadi ‘suara’ rakyat,” tambahnya lagi. - MediaUMNO
Post a Comment