PULAU PINANG 4 Mei - UMNO tidak akan menerima kembali wang ihsan berjumlah RM23,700 sekiranya Kerajaan negeri DAP Pulau Pinang mahu memulangkan semula yang diserahkan oleh fakir miskin kerana meragui sumber wang itu.
Pemangku Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, wang berkenaan bukan hak UMNO dan adalah menjadi tanggungjawab parti untuk memulangkan semula kepada pemilik asalnya.
Menurut beliau, pihaknya hanya membantu mengutip wang berkenaan dan memulangkan semula kepada kerajaan DAP Pulau Pinang pada 22 Disember lalu melalui cara deposit ke akaun Maybank milik Bendahari Negeri Pulau Pinang.
"Kita hanya bertindak membantu memungut wang tersebut daripada mereka yang enggan menerimanya dan memulangkan semula kepada kerajaan DAP Pulau Pinang.
"Buat apa kita terima. Wang itu bukan milik UMNO. Kita pun tidak menyimpan sebarang rekod mereka yang memulangkan semula wang tersebut," katanya pada sidang akhbar di Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.
Ketua Menteri, Lim Guan Eng sebelum itu memaklumkan kerajaan DAP Pulau Pinang enggan menerima wang yang dikreditkan tersebut kerana ia dilakukan dengan cara tidak betul selain meragui sumber wang berkenaan.
Post a Comment