GEORGETOWN 3 Mei - Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua Datuk Jasmin Mohamed hari ini menjelaskan bahawa UMNO tidak pernah menghalang pemberian wang sumbangan RM100 kepada warga emas.
ADUN daripada Barisan Nasional itu berkata, sebaliknya apa dipertikaikan adalah sumber kewangan untuk Program Penghargaan Warga Emas itu yang didakwa diperoleh daripada hasil perjudian.
"Apa yang dipertikaikan adalah penggunaan wang judi,” katanya ketika mencelah pada sesi soal jawab pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Kesihatan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Phee Boon Poh berkata, kerajaan negeri masih belum menerima sebarang pemulangan wang itu daripada golongan warga emas.
Katanya, setiap warga emas yang ingin memulangkan wang dan menarik diri daripada program itu perlu mengisi Borang Pemulangan Sumbangan Warga Emas RM100 (Borang 1).
"Sehingga 14 April tahun ini, kerajaan negeri masih belum menerima sebarang pemulangan atau permohonan untuk menarik diri daripada mana-mana kawasan Dewan Undangan Negeri,” katanya menjawab soalan lisan Tan Cheong Heng (DAP-Padang Lalang). - Bernama
Post a Comment