Headlines News :
Home » , » Program Juara Rakyat jadi teras BN

Program Juara Rakyat jadi teras BN



NIBONG TEBAL 20 Mei - Program Juara Rakyat yang dipelopori oleh UMNO akan dijadikan sebagai program teras Barisan Nasional (BN) melalui penglibatan menyeluruh parti-parti komponennya di semua peringkat bagi mendekati serta menyelesaikan masalah rakyat.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, semua pemimpin UMNO di peringkat bahagian sudah diarahkan supaya memastikan setiap program Juara Rakyat yang dijalankan turut melibatkan parti-parti komponen BN di kawasan masing-masing.

Menurutnya, langkah tersebut adalah antara usaha untuk memantapkan program Juara Rakyat supaya lebih menyeluruh sejajar dengan gagasan 1Malaysia.

"Walaupun MCA, MIC atau mana-mana parti komponen tidak bertanding di kawasan itu, kita mahu program Juara Rakyat dijalankan secara bersama kerana dengan cara itu kita lebih mudah mendekati rakyat.

"Kita mahu pastikan program ini mampu menjuarai segala masalah dan harapan rakyat. Ini dapat kita lakukan secara berpasukan," katanya selepas membuat tinjauan mesra di Pasar Awam Taman Berjaya, Nibong Tebal hari ini.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Datuk Mahmud Zakaria; Pengerusi Gerakan Nibong Tebal, Lim Boon Han; Timbalan Pengerusi MCA bahagian, Kor Lip Chuan dan Setiausaha MIC bahagian, K. Rajagopal.

Ahmad memberitahu, sebanyak 2,400 program Juara Rakyat dijalankan sepanjang tahun lalu di seluruh negara dan pihaknya mahu program itu ditambah baik melalui penglibatan menyeluruh parti-parti komponen BN yang lain.

Sementara itu beliau berkata, program tinjauan mesra tidak sepatutnya hanya dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebaliknya ia boleh dilakukan oleh pemimpin setempat sebagai program berterusan di kawasan masing-masing.

"Kita lihat pemimpin di peringkat negeri dan bahagian jarang sekali membuat tinjauan mesra di kawasan masing-masing. Tidak perlu tunggu pemimpin tertinggi turun padang, kita boleh lakukannya sendiri sama ada melawat pasar, rumah ibadat, sekolah atau rumah golongan miskin," ujarnya.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger