PERMATANG PAUH 27 Ogos - Pelbagai cara dilakukan masyarakat untuk menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan hujung bulan ini demi menunjukkan semangat cintakan negara.
Turut tidak ketinggalan melakukan perkara sama ialah kariah Masjid Jamek Taman Sembilang di sini, yang mengambil inisiatif menggantung Jalur Gemilang gergasi di masjid berkenaan.
Bendera sepanjang kira-kira 12 meter itu membaluti sebahagian bangunan masjid tersebut dan dapat dilihat dengan jelas oleh pengguna Lebuh Raya Butterworth-Kulim, sekali gus menyuntik semangat kemerdekaan dalam kalangan rakyat.
Pengerusi kariah masjid berkenaan, Abdul Alim Arabi Mohamad Salleh berkata, ini merupakan kali pertama pihaknya memasang bendera bersaiz gergasi itu sempena Hari Kemerdekaan.
"Kami menggunakan dana masjid yang disumbangkan oleh orang ramai dengan kos RM2,500.
"Usaha ini sebenarnya sudah dirancang sejak tahun lalu, namun tidak menjadi kenyataan kerana bendera yang ditempah tidak sempat disiapkan," katanya.
Menurutnya, impian penduduk sekitar untuk melihat bendera besar berkibar dipasang di masjid akhirnya menjadi kenyataan tahun ini dan mereka berharap usaha kecil itu dapat menerbitkan semangat cintakan negara, khususnya dalam kalangan kariah berkenaan.
Post a Comment