Headlines News :
Home » » UMNO PERMATANG PAUH TERUSKAN PROGRAM BANTU RAKYAT WALAUPUN BERDEPAN SABOTAJ

UMNO PERMATANG PAUH TERUSKAN PROGRAM BANTU RAKYAT WALAUPUN BERDEPAN SABOTAJ



PERMATANG PAUH 9 Jun - UMNO Bahagian Permatang Pauh tetap meneruskan program yang telah dirancang di pejabatnya walaupun dikejutkan dengan insiden dibaling bom molotov koktail oleh pihak tidak bertanggungjawab pada minggu lalu.

Ketuanya, Mohd. Zaidi Mohd. Said berkata, kejadian berkenaan tidak mematahkan semangat dan mereka terus komited membantu rakyat di kawasan berkenaan yang masih memerlukan pembelaan.

"Dalam hal ini, kita tidak mahu menuduh sesiapa kerana difahamkan polis masih menjalankan siasatan. Saya ingin tegaskan kami bukan hendak mencari musuh kerana semua program yang dianjurkan adalah untuk manfaat rakyat," katanya.

Terdahulu, Mohd. Zaidi menyempurnakan majlis penyerahan bantuan mesin dan alatan pertanian kepada 100 orang usahawan pertanian Parlimen Permatang Pauh di Wisma Transformasi UMNO di sini semalam.

Bantuan berkenaan dengan jumlah keseluruhan RM200,000 merupakan inisiatif kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang mahu melihat golongan tersebut meningkatkan pengeluaran mereka dalam sektor pertanian.

Dalam kejadian minggu lalu, Wisma Transformasi UMNO yang terletak di Jalan Kubang Semang, dekat sini dibaling bom molotov koktail dipercayai angkara perbuatan khianat namun tidak membabitkan sebarang kecederaan dan sehingga kini polis telah merekodkan keterangan empat individu bagi membantu siasatan.

Mohd. Zaidi berkata, sebelum kejadian, pihaknya aktif mengadakan pelbagai program termasuk di kawasan-kawasan yang dikatakan kubu kuat pembangkang.

"Beberapa hari sebelum kejadian, kami telah menghulurkan bantuan kewangan berjumlah RM30,000 kepada 28 buah sekolah agama termasuk kelas pengajian al-Quran di kawasan ini yang sudah lama terpinggir dan tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

"Mungkin ada pihak-pihak tertentu yang tidak berpuas hati apabila UMNO Permatang Pauh turun padang," katanya.

Bagi mengelakkan kejadian serupa berulang, Mohd. Zaidi berkata, beliau meminta semua ahlinya supaya lebih berhati-hati ketika turun padang dan tidak melayan sebarang bentuk provokasi.

Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger