Headlines News :
Home » » PENDUDUK KG BAGAN AJAM KESAL TAK DIBELA WAKIL RAKYAT PARLIMEN DIWAKILI KETUA MENTERI

PENDUDUK KG BAGAN AJAM KESAL TAK DIBELA WAKIL RAKYAT PARLIMEN DIWAKILI KETUA MENTERI




BUTTERWORTH 17 Jun - Kerajaan DAP Pulau Pinang diselar kerana gagal membela nasib penduduk Kampung Bagan Ajam di sini yang bakal dihalau oleh pemaju yang mahu membangunkan kawasan kampung terbabit.

Menurut penduduk, mereka telah beberapa kali mengajukan masalah itu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Phee Boon Poh dan Ahli Parlimen Bagan yang juga Ketua Menteri, Lim Guan Eng namun tiada sebarang tindakan diambil.

Malah bagi penduduk, kedua-dua wakil rakyat itu seolah-olah tunduk dengan tindakan pemaju untuk mengosongkan tanah itu selewat-lewatnya Ogos ini bagi memberi laluan kepada projek pembangunan yang belum dipastikan sama ada untuk pembinaan kondominium mewah ataupun pintu masuk ke terowong dasar laut yang menghubungkan Bagan Ajam dan Persiaran Gurney.

Tindakan itu bakal memberi kesan kepada kira-kira 50 keluarga yang rata-ratanya berpendapatan rendah dengan bekerja sebagai nelayan atau bekerja sendiri yang tidak mampu untuk mencari rumah lain sekiranya terpaksa berpindah.

Bagi penduduk, mereka sanggup berpindah asalkan pemaju sedia memberikan pampasan yang setimpal dengan nilai rumah mereka atau disediakan rumah ganti sebagai tempat mereka berteduh.

Salah seorang penduduk Sun Siang Tek, 78, berkata, pampasan yang ditawarkan pemaju tidak setimpal dengan keluasan rumah yang didiaminya sekarang malah dengan umur sekarang sukar baginya mendapatkan pinjaman untuk membeli rumah lain ditambah dengan pendapatan yang tidak seberapa sebagai nelayan pantai.

"Kami sepakat untuk mengadukan masalah ini kepada wakil rakyat tetapi tiada sebarang tindakan yang diambil melainkan meminta agar kerja-kerja merobohkan rumah penduduk ditangguhkan sehingga Ogos ini.

"Kami kesal kerana kawasan yang diwakili oleh Ketua Menteri sendiri gagal dijaga dengan baik sehingga nasib penduduk diabaikan dan menjadi mangsa pembangunan," katanya yang merupakan generasi pertama menetap di kampung itu di sini hari ini.
Pendapat sama diakui K. Murugesan, 70, yang mengakui pampasan seb
anyak RM22,000 yang ditawarkan kepadanya tidak memadai dengan keluasan rumah yang didiaminya sekarang bersama isteri, seorang anak dan tiga cucunya.

"Kami menerima notis mengosongkan rumah ini pada Disember lalu dan sudah dua kali menerima surat daripada peguam yang mendakwa itu adalah arahan daripada mahkamah.

"Biarpun kami dimaklumkan yang tarikh pengosongan itu ditunda ke Ogos namun pihak pemaju beberapa kali datang untuk memotong bekalan air dan elektrik ke rumah kami," ujarnya yang mendakwa kawasan itu akan dibangunkan dengan projek perumahan mewah.
Sementara itu, menurut Lutfir Rahman Abdullah, 55, dia mewarisi rumah di kampung itu daripada bapanya dan kini tinggal di situ bersama isteri dan tiga anaknya.

Jelasnya, difahamkan kampung itu akan dibangunkan untuk laluan masuk terowong dasar laut ke Persiaran Gurney mengakibatkan penduduk kampung menjadi mangsa.

"Kalau rumah kami dirobohkan di mana lagi untuk kami tinggal sebab kebanyakan penduduk tiada pendapatan tetap mengakibatkan mereka sukar berpindah ke tempat lain.
"Jadi kalau kami tetap dihalau dari sini sepatutnya pemaju sediakan rumah yang sesuai sebagai ganti kepada rumah yang dirobohkan ini," katanya.


Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger