Headlines News :
Home » » PENBEX 2014 LIBATKAN 350 USAHAWAN BUMIPUTRA , SASAR 100 RIBU PENGUNJUNG @dzainalabidin

PENBEX 2014 LIBATKAN 350 USAHAWAN BUMIPUTRA , SASAR 100 RIBU PENGUNJUNG @dzainalabidin



TASEK GELUGOR  - Sikap kreatif dan berani meneroka pasaran baharu perlu ada dalam diri usahawan bumiputera di negeri ini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Datuk Shabudin Yahaya berkata, langkah itu perlu agar usahawan bumiputera lebih kompeten dan berdaya saing dalam meningkatkan dan menambahkan keupayaan mereka.

"Hanya dengan ini, penyertaan bumiputera dalam pembangunan ekonomi akan menjadi lebih berkesan dan mapan.

"Usahawan bumiputera juga perlu meningkatkan jaringan kerjasama sesama sendiri kerana semua bentuk produk dan perkhidmatan yang diperlukan masyarakat dapat disediakan oleh mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Ekspo Usahawan Bumiputera Pulau Pinang (PenBEX) 2014 di Dataran Transformasi Usahawan di Kubang Menerong dekat sini, semalam.

Lebih 350 usahawan dan 50 jabatan dan agensi kerajaan menyertai PenBEX bermula semalam hingga 8 Jun ini.

Shabudin yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, bidang keusahawanan merupakan bidang yang luas untuk diterokai dan mampu menjanjikan pulangan yang lumayan.
Katanya, walaupun pelbagai cabaran terpaksa dihadapi tetapi usahawan perlu kreatif dan inovatif dalam meminimumkan risiko dan meluaskan potensi produk.

"Usahawan juga perlu meneroka bidang keusahawan baru, kaedah pembungkusan produk, perkhidmatan terkini, strategi pema­saran dan pasaran baharu termasuk menggunakan medium internet," katanya.

Shabudin yakin ekspo ini merupakan sebuah landasan yang boleh membimbing usahawan untuk memantapkan produk dan perkhidmatan ke arah menjayakan agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera di negeri ini.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Focus Group Usahawan dan Koperasi Bumiputera negeri, Muhamad Farid Saad berkata, PenBEX kali ini menyasarkan 100,000 pengunjung dengan penjualan RM2 juta.

Menurutnya, PenBEX tahun lalu mencatat jualan RM1.4 juta dengan 85,000 orang pengunjung.
Katanya, pelbagai acara diadakan bagi memeriahkan PenBEX se­perti pameran dan jualan, bengkel keusahawanan, pertan­dingan sukan rak­yat, dan persembahan hiburan oleh beberapa artis terkenal.

Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger