PULAU PINANG 16 Julai - Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Zairil Khir Johari dibidas kerana sanggup mengelirukan rakyat semata-mata mahu mempertahankan bosnya, Lim Guan Eng berhubung pembinaan 3,806 buah rumah kos rendah oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang.
Ketua Pemuda UMNO negeri, Shaik Hussein Mydin berkata, meskipun ia didakwa dibina selepas pembangkang mengambil-alih negeri ini pada 2008, pelan kebenaran merancang untuk rumah tersebut telah diluluskan semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) dahulu.
"Bilakah pelan kebenaran merancang diluluskan untuk kesemua 3,806 unit tersebut? Bukankah kebanyakannya diluluskan sebelum Mac 2008 yang bermaksud ia telah diusahakan oleh kerajaan BN dan bukannya kerajaan DAP seperti yang didakwa?
"Diharapkan Zairil Johari berhenti berbohong kepada rakyat dengan bermain angka untuk mempertahankan bosnya.
"Saya minta dia memperjelaskan semua dokumen pelan kebenaran merancang untuk pembinaan rumah kos rendah dan sederhana rendah bagi membuktikan bahawa dia tidak berbohong," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas surat yang ditulis oleh Zairil seperti disiarkan oleh sebuah portal berita propembangkang Malaysiakini .
Dalam surat berkenaan, Zairil mengkritik Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek semasa berdebat dengan Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP baru-baru ini mengenai isu rumah kos rendah di negeri ini.
Post a Comment