Kerajaan negeri di bawah pentadbiran Lim Guan Eng tidak patut berdolak-dalik dalam melaksanakan projek perumahan rakyat (PPR), kata Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang.
Ketuanya, Oh Tong Keong berkata jikalau kerajaan negeri tidak ada keikhlasan untuk membina rumah rakyat kos rendah dan sederhana, parti itu akan meminta kerajaan pusat untuk membantu rakyat yang kurang berkemampuan.
Bernama melaporkan katanya kerajaan negeri mengelirukan rakyat dalam isu perumahan kos rendah dan sederhana dengan menyatakan tanah yang dijual adalah kerana saiznya yang kecil dan tidak sesuai untuk perumahan rakyat.
"Pihak kerajaan negeri telah menjual tanah kerajaan yang lain kepada pihak swasta untuk pembinaan rumah mewah dan tidak ada rumah rakyat kos rendah dan sederhana dibina," katanya kepada pemberita di Georgetown, Rabu.
Oh turut menyoal tindakan kerajaan negeri yang menjual tanah di Taman Manggis dan menafikan wujudnya cadangan pembinaan satu blok tambahan rumah rakyat di bawah fasa dua di kawasan berkenaan.-4/7/2012
Post a Comment