Abdullah berkata kenyataan Anggota Parlimen Permatang Pauh itu hanya memalukan diri sendiri.
"Bodohlah...sampai sanggup dia (Anwar) jadi kuda tunggangan DAP, kalau dia mahu jadi tunggangan Umno sekalipun, Umno pun tak mau kan dia.
"Sepatutnya dia (Anwar) berasa malu dengan sikap yang sanggup menjadi kuda tunggangan pihak lain," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama pemimpin Persatuan Ibu Bapa dan Guru Kawasan Parlimen Kepala Batas di sini, Khamis.
Abdullah yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Anwar yang beliau rela menjadi kuda tunggangan DAP jika tindakan itu membolehkan pakatan pembangkang menawan Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).
Anwar dilaporkan berkata demikian dalam ceramah perdana sempena Konvensyen pakatan pembangkang Perak baru-baru ini.
Sementara itu, Abdullah berkata tidak ada sebab bagi pihak penganjur perhimpunan, yang bertukar ganas di ibu negara Sabtu lalu, membawa masuk pemerhati luar kerana rakyat Malaysia tahu apa yang baik dan sebaliknya untuk negara ini.
Abdullah berkata sepatutnya pihak yang menganjurkan perhimpunan berkenaan berjumpa dengan pihak yang berkaitan untuk berbincang apa yang mereka tidak puas hati.
"Seeloknya tidak payah ada perhimpunan kalau ada isu atau apa-apa jumpa dengan pihak yang tertentu untuk berbincang perkara yang mereka tidak puas hati," katanya.
Perhimpunan Sabtu lalu berakhir dengan keganasan apabila pesertanya bertindak biadab dan ganas dengan merosakkan harta benda awam selain mencederakan 13 anggota polis dan dua petugas media. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment