Datuk Azhar mahu bersara , beri peluang pemimpin muda




Setiausaha Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim menjelaskan bahawa tempoh untuk beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat sudah sampai ke penghujung dan sudah tiba masa tempatnya diganti oleh pelapis muda yang layak berbakti untuk rakyat.
Ketua Pembangkang itu berkata, sepanjang tempoh lima penggal, beliau berperanan sebagai wakil rakyat dengan pelbagai tanggungjawab dilaksanakan daripada hanya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sehinggalah memegang jawatan Exco dan akhirnya sebagai ketua pembangkang.
"Menjadi wakil rakyat sudah 22 tahun, masuk ke dalam dewan ini saja sudah 44 kali, bermula dari duduk di kerusi hujung... merata pindah ke depan tu (kerusi barisan Exco) akhir sekali duk tang ni (akhir sekali duduk di sini, kerusi ketua pembangkang).
"Saya sudah lalui pilihan raya umum lima kali, apa lagi yang saya hendak...bukan soal takut kalah pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti tapi sudah masanya beri (peluang) pada pelapis muda yang mahu gantikan saya. Saya sudah 66 tahun, saya perlukan rehat dan masa untuk cucu-cucu saya," kata Adun Penaga.
Beliau berkata demikian ketika diminta memberi penjelasan oleh R.S.N Rayer (DAP-Seri  Delima) mengenai pengunduran dirinya daripada bertanding pada PRU13 ketika membahaskan ucapan terima kasih Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini.
Azhar pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Tebatan Banjir daripada 2004 hingga 2008.
Beliau yang pernah digantung selama enam bulan daripada menghadiri persidangan Dun pada penghujung 2010 juga merupakan pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), pernah dilantik menjadi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (1995 hingga 1997).
Selain itu, Rayer juga mencabar Azhar supaya turun padang pada pilihan raya umum nanti sekiranya benar beliau tidak takut bahawa Barisan Nasional (BN) tidak akan kalah.
Bagaimanapun, Azhar berkata bukan soal kalah atau menang tetapi ia melibatkan tempoh masa perkhidmatan dan memberi peluang kepada pelapis muda yang berminat menyertai politik untuk berkhidmat kepada rakyat.
"Dua puluh dua tahun... sudah cukup, bukan kata BN tidak boleh menang, tetapi begitulah lumrahnya menjadi wakil rakyat, saya pencen sendiri dan bukan dipencenkan oleh parti. Saya ucapkan semoga berjaya dan teruslah berusaha... selamat berjaya kepada semua," katanya mengakhiri ucapan perbahasan. - Bernama

No comments:

Post a Comment