Headlines News :
Home » » Mesyuarat MAIPP tidak sah kerana dipengerusikan Salleh Man ?

Mesyuarat MAIPP tidak sah kerana dipengerusikan Salleh Man ?




 PULAU PINANG 19 April - Mesyuarat pertama Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) yang berlangsung hari ini berkemungkinan tidak sah kerana dipengerusikan Timbalan Yang Dipertuanya, Datuk Mohd. Salleh Man (gambar).

 Pengerusi Biro Agama Badan Perhubungan UMNO negeri, Shabudin Yahaya berkata, berdasarkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang mesyuarat MAIPP perlu dipengerusikan Yang Dipertua kecuali atas sebab-sebab tertentu.

 "Timbalan Yang Dipertua boleh memanggil mesyuarat jika tiada Yang Dipertua namun masalah sekarang Yang Dipertua ada, tidak tarik diri. Jadi kita anggap Yang Dipertua MAIPP wujud. "Tiada dalam mana-mana organisasi berlaku begini. Sekarang seolah-olah ada dua kepala dalam MAIPP," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

 Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman semalam mengakui membuat kesilapan dalam isu pelantikan Yang Dipertua MAIPP yang baharu. Kerajaan DAP Pulau Pinang sebelum ini menghantar nama Pengerusi Jawatankuasa Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Abdul Malik Kassim ke Istana Negara bagi mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik ke jawatan tersebut pada 22 Disember lalu.

 Bagaimanapun, cadangan itu dibatalkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) yang memutuskan Mohd. Salleh yang juga Pesuruhjaya Pas negeri sebagai Yang Dipertua MAIPP bagi tempoh dua tahun mengikut Seksyen 11 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004.

 Berikutan itu, kerajaan negeri menghantar surat rayuan ke Istana Negara pada 20 Januari lalu bagi memohon mengadap Yang di-Pertuan Agong berhubung perkara itu. MAIPP perlu mengadakan mesyuarat pertama dalam tempoh tiga bulan selepas watikah pelantikan dikeluarkan. Shabudin yang juga bekas Yang Dipertua MAIPP menegaskan, meskipun perkara itu adalah kecil ia boleh memberikan kesan besar kepada keseluruhan sistem urus tadbir hal ehwal Islam di negeri ini.

 "Mesyuarat ini penting kerana selalunya ia membincangkan perkara-perkara seperti urusan tanah, zakat, akidah dan pelantikan hakim.

 "Sebagai contoh, jika mesyuarat hari ini memutuskan pelantikan amil maka pelantikan itu tidak sah. Jika tidak sah maka kutipan zakat selepas ini juga tidak sah," ujarnya.

 Difahamkan, mesyuarat pertama MAIPP berlangsung hari ini bermula pukul 9 pagi. Bagaimanapun, dua Ahli Majlis Eksekutifnya iaitu Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob dan Mufti negeri, Datuk Seri Hassan Ahmad dikatakan tidak hadir.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger