NIBONG TEBAL 14 Sept. - UMNO Pulau Pinang menzahirkan harapannya agar rakan komponen mereka daripada Gerakan dan MCA akan turut memenangi kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, perkara (kemenangan) itu perlu dilakukan oleh MCA dan Gerakan berikutan kedua-dua parti berkenaan tidak menang kerusi yang dipertandingkan pada dua pilihan raya yang lalu iaitu pada PRU-12 dan PRU-13.
“Pada saya langkah MCA dan Gerakan mengenal pasti calon mereka di peringkat awal adalah sangat baik terutama dalam konteks Pulau Pinang ini kerana sudah dua kali pilihan raya umum, Gerakan dan MCA tak dapat satu kerusi pun.
“Oleh itu elok mereka kenal pasti calon awal supaya calon ini dapat bergerak di kawasan-kawasan yang mereka akan bertanding dan supaya masyarakat mengenali mereka sekaligus dapat dipilih sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Korban Perdana UMNO Pulau Pinang anjuran Biro Kebajikan UMNO di Masjid Assalam Kampung Padang Lalang, Simpang Ampat dekat sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Gerakan yang telah mengenal pasti 90 peratus bakal calon pada PRU ke-14 serta langkah proaktif MCA yang sedang mengenal pasti calon pada pilihan raya akan datang.
Mengulas lanjut Zainal Abidin berkata UMNO negeri yang juga rakan komponen dalam Barisan Nasional (BN) amat berharap akan ada kemenangan kerusi dalam kalangan Gerakan, MCA dan MIC pada pilihan raya nanti.
“Pada saya soal namakan calon ini perkara yang paling mudah untuk MCA dan Gerakan dan paling sukar adalah untuk menang. Sesiapa saja jadi boleh calon tapi yang pentingnya adalah hendak menang,” katanya.
Sementara itu, Zainal Abidin berkata, UMNO Pulau Pinang juga sudah bersiap siaga memulakan gerak kerja serta mengenal pasti calon-calon mereka pada pilihan raya nanti.
Bagaimanapun Zainal Abidin berkata, UMNO Pulau Pinang telah mengubah modul pencarian calon yang bakal mewakili parti itu menerusi pemilihan berdasarkan suara akar umbi.
“Jika dahulunya ketua bahagian yang akan memberikan senarai nama calon kepada pusat pimpinan untuk dipilih sebagai calon, kali ini metadologi berbeza digunakan di mana kita akan bertanya rakyat sendiri siapa yang mereka mahukan sebagai pemimpin di kawasan mereka.
“Sebagai contoh di Sungai Bakap ini kita akan tanya masyarakat di sini siapa yang mereka mahukan untuk menjadi pemimpin dan kita akan senaraikan dua tiga calon yang kita peroleh daripada rakyat setempat dan nama-nama tersebut kita bawa kepada kepimpinan pusat untuk dipilih,” katanya.
Zainal Abidin berkata UMNO Pulau Pinang sedang menjalankan proses sedemikian (mengenal pasti calon) sejak beberapa bulan lepas melalui kaedah baharu itu bagi mencari calon terbaik yang dapat menyumbang kepada kemenangan UMNO seterusnya BN.
Terdahulu pada majlis itu sebanyak enam ekor lembu dikorbankan.
Daging korban itu turut diagihkan kepada penduduk yang memerlukan serta kepada 13 buah sekolah tahfiz di Pulau Pinang. – BERNAMA
Post a Comment