Headlines News :
Home » » SEKTOR PERTANIAN KELANTAN RUGI RM105 JUTA AKIBAT BANJIR - ISMAIL SABRI

SEKTOR PERTANIAN KELANTAN RUGI RM105 JUTA AKIBAT BANJIR - ISMAIL SABRI




KOTA BHARU 19 Jan. - Bencana banjir besar baru-baru ini menyebabkan sektor pertanian serta industri asas tani di negeri ini mengalami kerugian mencecah RM105 juta. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah itu merupakan anggaran awal merangkumi pengeluaran padi, buah-buahan, sayur-sayuran, penternakan, akuakultur di samping kerosakan infrastruktur dan aset milik agensi.

Katanya, tanaman padi mengalami kerugian tertinggi iaitu RM35 juta diikuti akuakultur (RM20.1 juta), perusahaan asas tani (RM12.4 juta), sayur-sayuran (RM2.96 juta), buah-buahan (RM2.1 juta), penternakan (RM2.02 juta) serta perikanan (RM1.1 juta).

 “Jumlah kerugian melibatkan infrastruktur serta aset milik agensi-agensi di bawah kementerian pula dianggarkan masing-masing mencecah RM26 juta dan RM2.5 juta.

“Selain itu, bencana ini juga menjejaskan sebanyak 6,309 keluarga petani, penternak, nelayan dan usahawan dengan jumlah kawasan pertanian yang rosak ditenggelami air dianggarkan seluas 11,099 hektar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir dan Pelancaran Pasar Tani Khas Pasca Banjir di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung, di sini hari ini. Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Makhtar Mustapha serta Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA),Datuk Md. Alwi Che Ahmad.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, pengeluaran padi negara tidak terjejas walaupun sebahagian besar kawasan sawah di negeri ini ditenggelami air kerana kebanyakannya sempat dituai sebelum bencana bah kuning itu melanda.

Mengenai Pasar Tani Pasca Banjir, beliau berkata, pasar khas itu dibuka dua hari seminggu sehingga 1 Februari ini bagi meringankan beban rakyat negeri ini yang berdepan kenaikan harga barang keperluan akibat banjir.

Katanya, pasar tani tersebut dibuka di 11 lokasi di seluruh negeri dan menawarkan diskaun sehingga 60 peratus bagi 32 barangan keperluan asas seperti ayam, ikan, beras, gula, minyak, telur dan sayur-sayuran -
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger