Headlines News :
Home » » NGO KMPP GESA NASRUDIN PERTAHAN KENYATAAN PERSOAL PROJEK TEROWONG

NGO KMPP GESA NASRUDIN PERTAHAN KENYATAAN PERSOAL PROJEK TEROWONG



PULAU PINANG 7 Ogos Ahli Parlimen Temerloh yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasrudin Hassan digesa tidak tunduk dengan gesaan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng supaya beliau memohon maaf berhubung kenyataannya yang mempersoalkan rancangan projek pembinaan terowong dasar laut di negeri ini.

Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP), Rahmad Isahak berkata, Nasrudin tidak perlu takut dan mengikut kehendak Guan Eng itu.
Kata beliau, pihaknya yakin Ahli Parlimen Pas itu juga tidak akan sama sekali gentar atau tunduk dan membuat pusingan U apabila 'digertak' oleh Guan Eng.

"Pastinya Nasrudin mempunyai keyakinan yang tinggi dan bersedia sebelum mengeluarkan kenyataan sebegitu terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang.

"Biarkan isu ini dibawa ke mahkamah bagi menjamin ketulusannya memandangkan projek terowong dasar laut seperti yang dikritik oleh Nasrudin bukan merupakan kehendak majoriti rakyat di negeri ini," tegasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nasruddin sebelum ini mempersoalkan tekanan yang dikenakan terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung isu Lebuh Raya KinraraDamansara (Kidex) yang mendapat kritikan hebat daripada pihak tertentu terutama dalam pakatan parti pembangkang sendiri.

Dalam kenyataan yang sama, beliau juga mempersoal sikap kepemimpinan pakatan pembangkang yang tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Guan Eng berhubung projek terowong dasar laut yang didakwa dianugerahkan kepada sebuah syarikat secara rundingan terus.

Ekoran kritikan Nasrudin itu, Guan Eng dalam sidang akhbarnya di sini hari ini, mendesak Nasrudin agar segera memohon maaf berhubung kenyataan tersebut.

Tambah Rahmad, Guan Eng tidak sepatutnya cepat melatah dengan menuding telunjuk kepada pihak lain, terutama terhadap UMNO dalam isu berkenaan memandangkan apa yang dibangkitkan oleh Nasrudin itu adalah dalam kerangka pakatan pembangkang itu sendiri.

"Perkara ini merupakan masalah 'keluarga' pakatan pembangkang. Kenapa pula orang luar seperti UMNO mahu dilibatkan?

"Adakah ini menunjukkan apa yang selama ini dibangkitkan dan dikritik oleh UMNO terhadap kerajaan pimpinan Guan Eng tepat dan betul?" soalnya.

Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger