Headlines News :
Home » » MPPP TIDAK ADIL ,AMALKAN DWISTANDARD ROBOH GERAI - PENIAGA

MPPP TIDAK ADIL ,AMALKAN DWISTANDARD ROBOH GERAI - PENIAGA




PULAU PINANG  - Tindakan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) merobohkan dua gerai makan di Persiaran Gurney di sini minggu lalu mengundang pelbagai persoalan kepada peniaga terbabit berhubung ketidakadilan yang diterima mereka.

Peniaga berkenaan, Ramlah Ahmad, 75, berkata, dia kecewa apabila diperlakukan sedemikian oleh MPPP, seolah-olah wujud unsur dwistandard pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menguatkuasakan undang-undang.

Menurutnya, jika benar gerai yang diusahakan mengganggu laluan awam seperti didakwa, kenapa tiada sebarang notis atau pemberitahuan diberikan kepadanya sebelum tindakan roboh diambil.
"Mengapa wujud ketidakadilan terhadap kami dan kenapa hanya kami yang dikenakan tindakan seperti ini?" katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Gerai milik Ramlah yang diusahakan sejak 20 tahun lalu dirobohkan oleh penguat kuasa MPPP minggu lepas.
Isnin lalu, Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kecoh apabila Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid membangkitkan tindakan MPPP merobohkan dua gerai peniaga Melayu di Persiaran Gurney tanpa sebarang notis awal sedangkan peniaga makanan laut di Pantai Bersih hanya dikenakan kompaun sejak beberapa tahun lalu.

Sementara itu, anak Ramlah yang turut sama mengusahakan gerai tersebut, Mohamad Zambri Md. Shid, 36, memberitahu, dia hanya mahu dilayan secara adil, sama seperti peniaga lain yang tidak diganggu PBT.

"Kalau kerajaan negeri boleh tutup jalan untuk memberi laluan kepada penjaja Cina berniaga, kenapa kami diperlakukan sebegini sedangkan kami hanya berniaga di hadapan rumah? Kenapa tidak boleh bertolak ansur dengan kami?

"Sudahlah tiada notis pemberitahuan untuk merobohkan gerai, mereka (MPPP) datang terus roboh. Sekurang-kurangnya bukalah ruang perbincangan untuk kami sebelum sebarang tindakan diambil," ujarnya kesal.

Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger