Headlines News :
Home » » MANSOR BIDAS GUAN ENG SALAHKAN PKR - PAS TENTANG ISU HAL EHWAL ISLAM P.PINANG

MANSOR BIDAS GUAN ENG SALAHKAN PKR - PAS TENTANG ISU HAL EHWAL ISLAM P.PINANG



GEORGTOWN: Ahli Parlimen Nibong Tebal Datuk Dr Mansor Othman menegaskan Ketua Menteri Lim Guan Eng tidak patut mengaitkan PKR dan PAS sebagai penyebab di atas ketegangan yang berlaku dalam Pakatan Rakyat sebaliknya menyalahkan urus tadbir kerajaan negeri di bawah DAP.
 
Tegas Pengerusi PKR Pulau Pinang ini, dakwaan Guan Eng bahawa ketegangan yang berlaku berhubung pentadbiran hal ehwal Islam tidak melibatkan DAP adalah tidak wajar.
 
Ini kerana tegas Mansor, apa jua masalah pengurusan atau urus tadbir yang berlaku akan melibatkan DAP kerana parti itu mengetuai tampuk pemerintahan negeri itu yang dikuasai Pakatan Rakyat sejak 2008.
 
"Saya tidak tahu dan belum dengar apa yang dikatakan Lim Guan Eng tapi kalau betul laporan itu, ia bukan antara PKR dengan PAS dan ia tidak patut keluar dari mulut beliau.
 
"Ia bukan pasal PKR atau PAS...tampuk pemerintahan ialah DAP, ia bukan PKR atau PAS," katanya dalam temubual eksklusif bersama Antarapos.
 
Sebelum ini Guan Eng mendakwa PAS Pulau Pinang tidak berpuashati dengan kerajaan negeri bukan melibatkan pemimpin DAP tetapi dengan wakil PKR berhubung campur tangan dalam urusan pentadbiran hal ehwal Islam negeri.
 
"Mereka mengatakan terdapat masalah dan ia antara PAS dan PKR. Kami (DAP) bertanya adakah masalah itu berkaitan dengan kami?," katanya.
 
Setiausaha agung DAP itu menjelaskan sebarang urusan yang berkaitan dengan hal ehwal Islam parti itu tidak terlibat langsung.
 
"Apabila kamu bercakap soal hal ehwal agama, kamu perlu selesaikan dalam komuniti Islam...ia antara PAS dan PKR.
 
"PAS 'tidak senang' dengan PKR, saya telah katakan sebelum ini dan akan terus mengatakannya tetapi ia tidak pernah diberi tumpuan," kata Guan Eng sebagai respons balas terhadap ancaman PAS negeri untuk melepaskan semua jawatan dalam kerajaan negeri sekiranya parti tertentu dalam kerajaan terus campur tangan dalam urusan hal ehwal Islam.
 
Guan Eng perlu lebih 'bijak' 
 
Mengulas lanjut perkara itu, Mansor berkata pemimpin komponen Pakatan tidak seharusnya menyalahkan satu sama lain.
 
"Saya rasa Lim Guan Eng tak sepatutnya kata sebegitu sebab ia bukan antara PKR dengan PAS sebenarnya," katanya.
 
Dengan mengambil kira mandat kali kedua di Pulau Pinang, Naib Presiden PKR ini berkata Guan Eng selaku ketua menteri patut lebih berhati-hati semasa menyatakan sesuatu terutamanya perkara yang boleh mengundang kontroversi.
 
"Kalau hubungan tidak baik kita tidak akan meneruskan tanggungjawab kita selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), PKR tambah satu lagi kerusi berbanding 2008 di mana kita menang sembilan kerusi.
 
"Kita menang semula kerusi Seberang Jaya, ada peningkatan di situ...PAS juga tidak kalah, mereka mengekalkan kerusi Permatang Pasir.
 
"DAP pula pertahankan 100 peratus kemenangan, dari segi itu saya fikir apa sahaja yang dilaporkan media arus perdana tidak akan berjaya," katanya.
 
Jelas beliau, Pakatan perlu mentadbir Pulau Pinang dengan lebih baik agar ia tidak kembali ke bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).
 
Tambahnya, analisa PRU13 menunjukkan BN bertambah sokongan pengundi muda yang perlu diberikan tumpuan Pakatan.
 
"Kalau kita analisa data betul-betul, kita lihat trend sokongan pada Pakatan Rakyat di Pulau Pinang masih seimbang walaupun ada penambahan pengundi muda pada BN.
 
"Kita ada peningkatan (pengundi muda) cuma penambahan yang lebih pada BN," katanya.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger