KUALA LUMPUR 3 Dis. - Isu peningkatan kos sara hidup dan pemerkasaan ekonomi bumiputera perlu menjadi antara fokus utama perbahasan golongan muda sayap UMNO, esok.
Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, isu kos sara hidup penting bagi memastikan rakyat tidak terbeban.
Perhimpunan Agung Pemuda dan Puteri perlu membahas usaha yang harus dilakukan UMNO bagi menjamin kehidupan lebih baik kepada rakyat terutama generasi muda.
Isu berkenaan dilihat penting bagi membela nasib bumiputera serta rakyat sekali gus meningkatkan kepercayaan generasi muda kepada parti tunjang negara itu.
Perkara berkaitan peningkatan kemahiran golongan belia, peningkatan pendapatan dan mengurangkan beban rakyat merupakan isu utama yang dipandang serius golongan muda di negara ini.
Justeru, sayap Pemuda dan Puteri perlu membahaskan isu ini dan seterusnya bersama pemimpin tertinggi parti merangka strategi mampan untuk memperkasa ekonomi rakyat. Ini harapan dan apa yang generasi muda mahu lihat pada perhimpunan kali ini.
Benar UMNO merupakan parti memerintah namun perwakilan muda tidak seharusnya takut untuk mengkritik atau memberi cadangan bernas bagi menambah baik parti dan mekanisme parti itu mentadbir kerajaan demi kebaikan rakyat. Perlu diingatkan rakyat menaruh harapan tinggi pada perhimpunan ini," katanya.
Mohamed Maliki juga berkata, era perwakilan memuji pemimpin serta menyuarakan pendapat retorik ketika berbahas sudah berlalu dan perbuatan sedemikian, jika diulang, akan menyebabkan generasi muda memandang sepi perhimpunan kali ini.
Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Ezaruddin Abd Rahman pula berkata, program pemerkasaan ekonomi bumiputera perlu dibahas bagi memastikan ekonomi golongan itu di negara ini terjamin.
Generasi muda mahu kerajaan beri mesej jelas bagaimana mahu tingkatkan ekonomi rakyat, dan agenda memperkasa ekonomi bumiputera ini merupakan pelan jelas hitam putih, maka agenda ini perlu dibahas untuk perincian dan pelaksanaan yang teratur," katanya.
Ezaruddin berkata, isu pemerkasaan sistem pendidikan di negara ini juga perlu dibahas kerana hanya dengan pendidikan kehidupan rakyat mampu dipertingkat.
Isu seperti menjadikan UiTM (Universiti Teknologi Mara) sebagai universiti diraja, pemerkasaan bahasa Melayu dan tulisan jawi merupakan antara isu penting bagi generasi muda yang perlu dibahas... apa yang penting, isu ini perlu diambil perhatian bagi memastikan generasi muda terus menyokong UMNO," katanya. - BERNAMA
Post a Comment