Headlines News :
Home » » 90 KELUARGA KAMPUNG MUTIARA PULAK AKAN DIHALAU KELUAR

90 KELUARGA KAMPUNG MUTIARA PULAK AKAN DIHALAU KELUAR




BATU FERRINGHI - Kira-kira 90 keluarga di Kampung Mutiara, di sini, berada dalam dilema kerana diarah keluar sebelum 5 Disember 2013.

Ia berikutan tanah yang diduduki sejak 1970 itu akan dijual tidak lama lagi.

Penduduk, Rojahan Ahmad, 62 berkata, tidur malamnya tidak lena hingga ke hari ini berikutan memikirkan diri dan keluarga terpaksa keluar dari kampung yang diduduki sejak 60 tahun dulu.

Menurutnya, dia dan enam lagi ahli keluarganya hanya membayangkan akan memasang khemah dalam masa terdekat sekiranya tindakan tegas diambil terhadap mereka.

“Saya susah hati sampai sekarang. Saya juga buntu apa tindakan yang perlu diambil kerana rumah yang saya duduk sekarang akan diambil orang lain.
“Kalau boleh, kami mahu tinggal di kampung kami sendiri, tak mahu kampung orang lain,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Sementara itu bagi Abdul Rahim Hamid, 51 berkata, sebaiknya dia mahu pemaju menyediakan rumah ganti di kawasan sama.

Menurutnya, di sekeliling Batu Ferringhi telah dibina dengan rumah yang bernilai hampir RM1.5 juta dan sudah tentunya tidak mampu dibeli penduduk.

Menurutnya, dia dan penduduk lain tidak kisah apa saja jenis rumah yang akan digantikan sama ada rumah kampung atau pangsa.

“Kami memang tidak sanggup tinggal di luar kerana semua rumah mahal-mahal, kami sudah berasa seronok di sini dan tidak mahu hidup dalam kesempitan.

“Sejak 2007 saya tidak lena tidur memikirkan perkara ini dan sekarang ia seperti menjadi realiti yang pahit untuk kami,” katanya.

Sementara itu, bagi keluarga Anjalai Devi, dia sudah selesa duduk dalam komuniti yang majoritinya terdiri dari masyarakat Melayu itu.

“Kalau boleh saya mahu kerajaan bantu kami, janganlah pindahkan kami semua kerana saya memang benar-benar susah hati dengan dua lagi anak saya,” katanya.


Kampung Batu Ferringhi dibimbangi terancam

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Batu Ferringhi, Jamaludin Hashim berkata, hampir 500 rumah terlibat dan mereka kini dalam situasi membimbangkan.

Menurutnya, penduduk tidak menolak pembangunan di kawasan berkenaan, namun bimbang sekiranya mereka dipaksa keluar dari kampung yang telah didiami lebih dari 40 tahun itu.

“Pihak JKKK sendiri tidak tahu apa jenis pembangunan yang akan dijalankan sekiranya tanah di kampung ini akan dijual kepada pemaju, namun apa yang kami mahukan ialah hak yang sewajarnya.

“Hanya ada dua cara yang wajar untuk menyelesaikan masalah ini iaitu membina rumah ganti rumah kepada penduduk di kawasan yang sama dan pemilik tanah sepatutnya membuat rujukan dengan penduduk terlebih dahulu,” katanya.

Beliau yang ditemui pada sidang media di Kampung Mutiara itu memaklumkan Batu Ferringhi yang terkenal sebagai destinasi pelancongan itu mempunyai kira-kira empat kampung.

Ia termasuk Kampung Din Bambo, Kampung Sungai Satu, Kampung Rasa Sayang dan Kampung Mutiara.

Namun hanya Kampung Mutiara menjadi kampung yang pertama terlibat dengan pembangunan sejak sekian lama.

Jamaludin berkata, asalnya penduduk kampung berkenaan tinggal di tepi pantai, namun dipindahkan sejak tahun 1973 ke kawasan perkampungan sekarang kerana pembinaan hotel.

Menurutnya, sudah pelbagai cara dilakukan pihaknya untuk membantu penduduk kampung namun masih menemui jalan buntu.


Pas desak kerajaan negeri ambil perhatian

Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah Pas Negeri Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim mendesak Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk campur tangan dalam isu penduduk kampung di sini.

Menurutnya, campur tangan tersebut diperlukan bagi membolehkan penduduk kampung mendapat hak yang sewajarnya.

“Kita bukan membantah tapi mahukan penduduk mendapat pampasan yang sewajarnya, jika ada rumah ganti rumah perlu mempunyai keluasan dari 500 hingga 600 kaki persegi.

“Seperti di Kampung Batu Uban, penduduk mendapat rumah berkeluasan 750 kaki persegi,” katanya.

Dalam masa yang sama peguam akan turut dilantik bagi membantu penduduk kampung.

“Dokumen lama akan dikumpulkan dan kami berharap masalah ini akan dapat diselesaikan secepat mungkin memandangkan hanya tinggal beberapa hari saja lagi penduduk akan berpindah,” katanya.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger