Headlines News :
Home » » UMNO BAYAN BARU DESAK KOPERASI TUNAS MUDA JELASKAN ISU TENDER PROJEK

UMNO BAYAN BARU DESAK KOPERASI TUNAS MUDA JELASKAN ISU TENDER PROJEK


PULAU PINANG 8 Sept. - Lembaga Pengarah Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Bhd. (Tunas Muda), diminta memperjelaskan mengenai semua projek pembangunan yang dijalankan di atas tanah milik koperasi berkenaan termasuk mendedahkan tender-tender projek yang dibuka.

Ketua UMNO Bahagian Bayan Baru, Datuk Abdul Rahim Saibu berkata, perkara itu penting bagi memastikan ketelusan dalam setiap pemberian projek koperasi.

Malah, katanya, penjelasan itu juga perlu bagi memastikan tanah milik koperasi yang diberikan kerajaan tidak disalah guna dalam menjamin survival orang Melayu di negeri ini pada masa hadapan.

“Apa yang kita lihat setakat ini hampir kesemua tanah milik koperasi telah dibangunkan dengan projek perumahan mewah dan ini akan memberi kesan kepada masa depan orang Melayu khususnya ahli-ahli koperasi sendiri.

“Kita juga dapati tiada ketelusan dalam pemberian tender projek memandangkan pembukaan tender seperti tidak dilakukan dan projek di bawah koperasi seolah-olah dimonopoli pemaju tertentu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Bayan Baru di sini malam tadi.

Rahim berkata, penubuhan koperasi berkenaan dan pemberian tanah kepada Tunas Muda adalah sebagai deposit untuk orang Melayu di negeri ini.

“Kalau semua tanah koperasi habis digadai dan dibangunkan apa lagi yang akan tinggal untuk orang Melayu nanti.

“Sudah 30 tahun tanah ini dijaga dengan baik oleh koperasi, tetapi mengapa dalam masa lima tahun kebelakangan ini hampir kesemua tanah berkenaan dibangunkan," katanya.

Selain itu, tegas beliau, koperasi juga perlu memperjelaskan mengenai penjualan tanah tapak masjid di Kampung Perlis di sini yang merupakan sebahagian daripada tanah milik koperasi.
“Kita mahu tahu mengapa tanah tapak masjid juga dijual memandangkan perkara itu tidak sepatutnya berlaku," tegasnya.


Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger