Headlines News :
Home » » BEKAS AHLI PARLIMEN PKR DILANTIK DUTA BESAR MALAYSIA DI INDONESIA

BEKAS AHLI PARLIMEN PKR DILANTIK DUTA BESAR MALAYSIA DI INDONESIA





PUTRAJAYA 5 Sept. - Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman mengesahkan bahawa bekas Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim telah dinamakan sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

"Kami telah memutuskan untuk melantik beliau sebagai Duta Besar Malaysia yang baharu ke Indonesia dan kini dalam proses memaklumkan kepada kerajaan Indonesia.

"Bagaimanapun, tarikh memulakan tugas rasmi belum dimuktamadkan kerana menunggu kelulusan daripada kerajaan Indonesia," katanya kepada pemberita dalam majlis rumah terbuka Aidilfitri Kementerian Luar di sini hari ini.

Ditanya kriteria pemilihan Zahrain, Anifah berkata: "Kami tidak pernah melihat latar belakang beliau... latar belakang politik dan fahaman politik. Bagi Wisma Putra, kami cuba meletakkan orang yang terbaik yang ada untuk jawatan (duta) di mana-mana negara tertentu."

Beliau berkata, sesiapa yang telah dipilih untuk menjadi Duta Malaysia harus menyokong hasrat dan matlamat kerajaan dan ia akan menjadi antara kriteria yang akan dipertimbangkan. - BERNAMA

ZAHRAIN MAHU BANTU TINGKAT HUBUNGAN MALAYSIA - INDONESIA

Duta Besar Malaysia yang baharu ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, antara usaha yang akan dilakukannya ialah mengeratkan lagi hubungan dua hala antara Kuala Lumpur dan Jakarta serta merapatkan hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

Beliau menyifatkan pelantikan itu sebagai satu tanggungjawab besar dan akan cuba menggalas cabaran itu dengan sebaik mungkin dengan bantuan para pegawai diplomatik di Wisma Putra mahupun di pejabat kedutaan di Jakarta.

"Ini adalah kali pertama sebagai seorang diplomat. Sebelum ini menjadi ahli perniagaan, pemimpin korporat dan ahli politik," katanya yang mengakui tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam bidang diplomatik.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia atas kepercayaan terhadap kemampuan saya menjalankan tanggungjawab itu," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Katanya, beliau telah menerima surat pencalonan untuk jawatan tersebut daripada Kementerian Luar tiga minggu lepas, dan kini menunggu watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong untuk memulakan tugas baharunya itu. - BERNAMA

Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger