NIBONG TEBAL -Jangan terus berdolak dalik atau berbohong kepada rakyat kerana mereka sudah mengenali suaranya yang disiarkan dalam televisyen beberapa hari lalu.
Oleh itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Mansor Othman perlu mengakui kebenaran rakaman suara yang dirakam dalam satu mesyuarat PKR Pulau Pinang beberapa bulan lalu adalah suaranya dan beberapa pemimpin parti itu ketika menghadiri mesyuarat berkenaan.
Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, rakaman yang disiarkan itu adalah jelas suara Mansor dan tidak perlu terus berdolak dalik atau masih mahu menafikannya.
Beliau berkata, rakyat hanya mahu kebenaran dan pemimpin PKR itu tidak perlu mengelak daripada menyatakan perkara sebenar sebagai seoang pemimpin yang telus dan berwibawa.
"Kenapa masih mahu mengelak menyatakan kebenaran. Rakyat Pulau Pinang cerdik dan tahu menilai kewibawaan pemimpin nombor dua di negeri ini.
"Tidak perlu takut untuk mengakui kesilapan yang dilakukan demi menegakkan kebenaran," katanya kepada media selepas menghadiri pelancaran program Salam Sayang Pergerakan Wanita Umno Pulau Pinang di Dewan Masyarakat Sungai Acheh di sini.
Menurutnya, Mansor sebagai pemimpin Kerajaan Negeri tidak perlu takut kepada sesiapa termasuk Ketua Menteri, Lim Guan Eng jika mesyuarat itu adalah sejajar dengan perjuangan PKR di Pulau Pinang.
"Kenapa perlu takut kepada Guan Eng jika adalah agenda dan pegangan PKR di Pulau Pinang.
"Orang Pulau Pinang tidak suka dengan pemimpin yang bercakap bohong.
Apa yang mereka mahu ialah setiap pemimpin yang dipilih perlu menyatakan kebenaran dan mempertahankan kenyataan yang dikeluarkannya. Jangan sesekali cuba berdolak dalik," katanya.
Zainal Abidin yang juga Ketua Umno Bahagian Nibong Tebal berkata kini terserah kepada Mansor untuk menyatakan pendirianya sama ada mengakui kebenaran rakanan suara itu atau terus berbohong kepada rakyat.
“Rakyat akan membuat penilaian dan penentuan mengenai pemimpin terbabit dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.
Semalam, Mansor dipetik sebagai PKR akan mengambil tindakan terhadap dalang yang membocorkan rakaman suara dan minit Mesyuarat Perancangan Strategik PKR Pulau Pinang beberapa bulan lalu.
Bagaimanapun, beliau tidak mengakui atau menafikan suara yang disiarkan itu adalah suaranya
Post a Comment