Headlines News :
Home » » Kemelut Tanah Kampung Terang – Dalam Terang Kita Semakin Gelap

Kemelut Tanah Kampung Terang – Dalam Terang Kita Semakin Gelap




Ramai orang telah bercakap dan menyentuh tentang isu Penjualan Tanah di Kampung Terang yang melibatkan sekeping tanah dan dua pemimpin UMNO iaitu Dato Omar Fauzar dan Dato Musa. Difahamkan mereka adalah pemilik Miliion Crest Sdn. Bhd., iaitu syarikat yang telah membeli tanah tersebut.

Saya memerhati perkembangan berkaitan perkara ini sejak ianya mula di timbulkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang dan Dato’ Speaker yang juga merupakan Ketua PKR Cabang Balik Pulau. Kemudiannya disambut oleh pemimpin-pemimpin PKR dan PAS Balik Pulau lainnya. Dan terakhir sekali telah disentuh lagi oleh pemimpin DAP semasa lawatannya ke Rumah Berhala Lam Thean di Sg Ara Bayan Lepas pada 11 Ogos. Lapuran yang diterima memaklumkan bahawa antara kandungan ucapan beliau telah membidas dua orang pemimpin UMNO yang telah menipu rakyat dengan membeli tanah milik orang Melayu dan mengaut keuntungan sebanyak RM 5.00 juta dalam tempoh 3.5 bulan.

 Beliau antara lain telah menyeru kepada para hadirin untuk menolak UMNO kerana pemimpin UMNO sanggup menipu bangsa sendiri dan mereka tidak akan membela kaum lain. Jika benar ungkapan itu, ianya adalah satu kenyataan yang berniat jahat dan memberi gambaran yang melampau tentang UMNO yang sebenarnya mensasarkan kepada kepimpinan Melayu di negeri ini.

Sebagai pemimpin kecil dikawasan ini, saya rasa saya perlu bersuara dan menulis diblog ini. UMNO yang menunjangi kepimpinan Barisan Nasional bukan ditubuhkan untuk menipu bangsa sendiri dan jauh sekali untuk menginayai kaum lain. Sebagai pemimpin tempatan tentulah saya amat terasa dengan kenyataan yang dibuat. Lebih-lebih lagi ianya berkaitan dengan isu yang begitu berat yang saya pandang dan dekat dihati saya. Seringkali saya mengingatkan anggota masyarakat di Balik Pulau ini supaya tidak menjual tanah-tanah mereka yang mereka warisi. Telah berulangkali saya menekankan bahawa kita hanyalah sebagai pemegang amanah keatas tanah-tanah yang di wariskan kepada kita. Tanah-tanah tersebut adalah untuk anak-anak dan seterusnya cucu-cucu kita.

Apapun yang kita lakukan, sebarang tindakan yang kita ambil, kita hendaklah memikirkan natijah yang akan menimpa generasi akan datang. Walau apapun yang saya katakan dan lakukan, saya sedar bahawa saya tidak akan dapat menghalang para pewaris untuk tidak menjual tanah mereka, kerana itu hak mereka. Mereka bebas menjualnya ataupun mengadainya. Apa yang tidak dapat saya terima adalah seringkali bebanan serta kesalahan menjual tanah itu diletakkan sepenuhnya keatas UMNO dan seterusnya pemimpin UMNO walaupun yang menjual tanah itu bukan UMNO, bukan ahli UMNO, dan hanyalah seorang Melayu yang tentunya mempunyai sebab untuk menjualnya. Cuba lah kita berlapang dada dan berfikir sejenak. 

Apakah UMNO dan pemimpin dapat menghalang si pewaris daripada menjual tanah mereka? Apakah PAS atau PKR atau DAP dan pemimpin mereka dapat menghalang pemilik daripada menjual hak mereka ? Soal menjual atau tidak adalah tertanggung diatas pewaris-pewaris. Kalau mereka sudah membuat keputusan, sepatutnya kita menghormati keputusan mereka dan bukannya meletakkan keputusan mereka itu sebagai satu kesalahan kepada orang lain, dalam hal ini UMNO dan pemimpinnya..

Ketua Menteri atau Ketua Cabang atau Yang diPertua PAS setempat atau Ahli Majlis atau Ahli Parlimen baru empat tahun ini berada ditampuk kuasa pemerintahan negeri dan mereka itupun bukanlah sepenuhnya menjadi rujukan masyarakat untuk menyuarakan masaalah mereka seharian. Memang mudah untuk mereka menunding jari menyalahkan siapa sahaja asalkan bukan mereka dan menabur janji. Cukup-cukuplah dengan sikap menunding jari yang sebenarnya tidak mendatangkan faedah kepada sesiapa. Keputusan untuk menjual yang diambil oleh semua pewaris adalah kerana mereka menghadapi masaalah untuk mengagihkan hak dan panggu mereka yang ramai itu dalam bentuk agihan hartanah.

Maka tentulah kecairan asset lebih mudah, dan dengan menjual tanah dan mengagih wang perolehan hasil jualan adalah jauh lebih mudah berdasarkan kepada peratusan hak atau panggu mereka. Tanah itu pula dijual dengan cara perbincangan dan dipersetujui bersama (willing buyer and willing seller). Tidak ada paksaan dalam persetujuan itu. Bukankah itu adalah kaedah yang terbaik berbanding dengan percubaan pihak kerajaan negeri yang mahu mengambil tanah orang kampong yang dipertahankan habis-habisan. Amatlah tidak wajar untuk mengatakan penduduk ditipu.

Tetapi kalau sudah diniatkan untuk mencetuskan rasa benci dan permusuhan maka kenyataan ‘telah menipu itu’ telah berjaya mencapai tujuan ianya dicanangkan. Jika sudah diniatkan untuk melahirkan rasa permusuhan dan kebencian sesama anggota masyarakat, maka kenyataan bahawa UMNO tidak menjaga bangsa Melayu maka jangan harap untuk menjaga bangsa lain, adalah satu telahan politik yang jahat. Adapun keuntungan yang dibuat itu pulak adalah selepas transaksi kedua dibuat.

Perubahan kenaikan harga tidak perlu menunggu 3.5 bulan tetapi boleh mencapai nilai baru dan masa seminggu sahaja. Kita harus tahu dan sedar bahawa nilai harga tanah dikawasan Balik Pulau ini tidak ada jadual yang khusus. Kadar jualan adalah lebih berdasarkan kepada penjualan dan pembelian secara sukarela dan suka sama suka. Sudah ramai orang tengah yang mendapat keuntungan dalam urusniaga tanah dikawasan ini.

 Diwaktu para pewaris berasa gembira dan bersyukur kerana ada orang Melayu membeli tanah mereka, orang politik pula mengambil kesempatan untuk menjadikanya agenda politik untuk menjatuh imej dan maruah satu pihak yang lain. Dikala para pewaris berjaya menikmati wang hasilan jualan tanah yang mereka warisi untuk digunakan bagi tujuan yang berfaedah dan memenuhi keperluan semasa mereka, orang politik pula berusaha untuk meraih populariti sokongan politik.

Yang paling menyedihkan lagi, sesama sebangsa bertelagah mengikut gendang yang dialunkan oleh orang yang cuba memecah-belahkan sesama kita. Aneh kan ?, kita lebih rela bermasan muka sesama sendiri diatas isu yang sebenarnya boleh menyatupadukan kita. Cuba lihat sendiri, dalam bagitu banyaknya projek perumahan mewah yang dibuat, berapa ramaikah pemaju Melayu – hanya 1 sahaja. Ada orang ketawa melihat kita bertelagah. Lagi teruk kita bertelagah, lagi seronok mereka. Ada orang ke bank mengira untung, kita pula sebok kekedai kopi mengira berapa banyak kita boleh menjatuh sesama kita. Ada perkara yang boleh kita politikkan, tapi janganlah semua benda kita hendak politikkan.

Tidak adakah langsung dalam hati kita ini untuk menjadikan permasaalahan yang dihadapi ini sebagai faktor penyatuan! Adapun sebenarnya isu tanah Kg.Terang itu bukannya satu isu yang patut di perbesarkan oleh Pakatan Rakyat (PR). Tetapi ianya sengaja di jadikan isu besar untuk menutup isu sebenar yang menampakkan Kerajaan PR jelas mahu merampas tanah milik orang kampung seperti yang berlaku pada penduduk Kg.Genting.

Dengan tujuan untuk mengalihkan pandangan serta tumpuan terhadap bantahan demi bantahan yang di anjurkan penduduk, maka isu tanah Tanah Kg.Terang pun sengaja di perbesarkan mengikut citarasa Kerajaan PR yang tak bertanggungjawab ini. Isu berkaitan dengan Kg Genting telahpun saya jelaskan dalam penulisan sebelum ini.

 “Ya Allah, satukanlah hati-hati kami dibawah payung rahmatMU dan elakkan kami daripada berpecah-belah dalam urusan seharian kami dalam mempertahankan Agama kami, Bangsa kami dan Tanahair kami. Jadikan bumi Malaysia yang dihuni oleh makhlukMU yang berbagai bangsa, keturunan dan agama anutan, sebuah negara yang aman, bahagia dan berkembang menjadi sebuah negara maju yang didalammnya kami hidup bahagia dan bersenangan dengan nikmatMU”


sumber:  Blog Adun Pulau Betong  YB Muhamad Farid Saad
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger