Headlines News :
Home » » MAIPP diminta kaji semula pilihanraya masjid - Jamil Khir

MAIPP diminta kaji semula pilihanraya masjid - Jamil Khir



KUALA LUMPUR 6 Jun - Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) diminta meneliti secara mendalam pelaksanaan 'pilihan raya masjid' di negeri itu kerana dikhuatiri boleh menimbulkan perpecahan dalam kalangan umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pemilihan itu dilihat boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan kariah masjid kerana unsur politik mungkin lebih mendominasi pemilihan tersebut.

Lagi pula, katanya, proses pemilihan jawatan kuasa masjid di negeri itu memerlukan perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.

"Kita tahu apabila pemilihan dibuat, calon akan membawa penyokong mereka termasuk dari luar kariah dan ia mungkin berdasarkan pengaruh politik sedangkan yang penting adalah pengimarahan masjid.

"Sebenarnya kepentingan masyarakat masjid itu yang perlu diutamakan. Kita tidak mahu melihat pemilihan yang tidak menunjukkan realiti sebenar dengan jumlah pengundi yang datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas ketetapan pemilihan jawatankuasa masjid melalui proses 'pilihan raya' yang diputuskan dalam mesyuarat khas MAIPP baru-baru ini dan dihadiri Exco Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Abdul Malik Kassim.

Perkembangan itu mencetuskan kebimbangan banyak pihak yang melihat ia boleh menyebabkan institusi masjid diresapi unsur-unsur kepartian sehingga mengundang perpecahan serius dalam kalangan kariah masjid.

Tambah Jamil, pemilihan itu diharap tidak memburukkan lagi perpecahan di kalangan umat Islam apabila pertelingkahan mungkin berlaku pula di dalam masjid.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger